Sunday, 8 July 2012

JANGAN SINDIR SAYA...

Assalamualaikum,


Dah lama tak menulis, sibuk sangat 'membaiki' hidup. Hanya nak meluahkan rasa. Kadang hati terlalu ni terlalu terkilan dengan sikap kawan-kawan dan saudara mara di sekeliling. Bukan nak meluahkan rasa marah. Hanya nak mengajak sesiapa sahaja yang membaca blog saya ni berfikir sejenak.

Pernah tak korang kena sindir yang mana nadanya berbunyi gini.

A : Awak, baju awk nampak ketat la hari ni.
B : Yeke? tak perasaan la saya 'ustaz'. Nanti balik saya tukar ye ustaz ye...

Pernah tak korang kena gini? Agak2 apa korg rasa? Down kan? Aku tahu diri ini tak sebaik mana tapi aku kadang sekadar mengingatkan. Bukan nak tunjuk baik. Kadang mengingatkan diri sendiri juga. Tanda kita sayang mereka. Tanda kita ambil berat tentang mereka. Andai tak mahu mendengar sekalipun jangan la menyindir.

Perlukah seseorang mencapai tahap ustaz baru dibenarkan menegur? Pada aku andai la seorang ni penjenayah terbesar sekali pun jika dia menyampaikan kebaikan pada aku nescaya aku akan terima dengan hati yang lapang kerana Islam itu indah bukan memandang darjat dan pangkat sosial. 

Percayalah kita ini tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Jadi jika ada yang dtg menegur dan mengingatkan kita itu bersyukurlah kerna kekadang Allah menyampaikan peringatan itu melalui hamba2nya. Itu merupakan tanda kasih syg Allah. Maka bersyukurlah, terimalah teguran dengan berlapang dada.

Wallahualam, moga aku tak memburukkan sesiapa. Hanya redhaMu ku dambakan...SAYA BUKAN USTAZ...Saya insan biasa yang kadang melepak kedai kopi sampai 2,3jam. Saya insan biasa yang kadang tak terlepas dari melakukan dosa2 mengumpat dan maksiat. Moga Allah ampunkan dosa2 ku ini...

Saturday, 7 July 2012

MUHASABAH DIRI

Assalamualaikum,

Mata dah berpinar-pinar nak tido...tapi tetap tak mahu pejam juga. Fikiran ligat berputar. Lengan dihamparkan atas dahi sambil mata yang berpinar memandang ke siling. Sepertimana ligatnya kipas siling itu berpusing ligat lagi fikiran dan akal ni berfungsi...

Yang difikirkan bukan masalah duit tak cukup nak tukar handphone baru, yang difikirkan bukan masalah mcm mana nak jadi kaya dan hidup senang, yang difikirkan bukan masalah musim piihanraya nanti nak undi mana satu.

Aku memikirkan berapakah markah aku hari ini? Bukan markah exam. Tapi markah amal perbuatan aku hari ini jika ada penilaian dibuat berapakh markah yang Allah nak bagi? Luluskah kita? Masalah ini menyesakkan fikiran tercetus dek kerna rancangan Soal Wanita kata-kata Prof Dr Muhaya jgn letakkan donia sebagai matlamat. Kejarlah akhirat, tanamkan cita untuk jadi AHLI SYURGA. KPI kita syurga dan neraka. Pahala dan dosa...Petua untuk hidup bahagia. Lepas dengar kata-kata Prof Dr Muhaya rasa terinspirasi untuk menulis. Bukan nak tunjuk tapi nak kongsi dan perbetuli diri jua...Wallahulam.

Friday, 18 May 2012

Mana Nak Mula?

Salam...

Dah lama tak menulis. Sibuk berjuang membaiki hidup. Bukan tiada masa nak menulis. Tapi aku tak tahu apa nak dikongsi. Aku tak suka menceritakan hal kerja aku. Tapi sepanjang masa ini terlalu banyak yang aku lalui di alam kerjaya ini. Kadag menghenyak lemas rasanya.

Ketidakadilan, politik dalaman, emosi seorang lady boss, macam-macam lg la. Aku cuba nak olah cerita ni agar tak terbuka pekung sesiapa. Tapi mcm tak pandai dan tak jujur dalam menulis. Aku teringin menulis ttg cinta aku pada kerja aku skrg ini. Tapi tak tahu nak mula kat mana.

Hal mak aku juga cukup meresahkan. Mak masih lagi menjalani rawatan dengan batu karang hempedunya. Emmm. Banyak dugaan dan kisah sedih. Aku kadang tak tahu mana nak mula. Hidup aku mula berubah apabila aku mula bertugas kat Arau. Di sana turning pointnya.

Hidup terduga maknanya Allah syg kita. Dia nak kita selalu ingatkan Dia. Alhamdulillah aku dah boleh bangkit sekarang. InsyaAllah akan aku kongsi kan kisah kdg bukan semua cerita berkenaan ku. Ada juga cerita pengalaman dari hidup kawan dan juga pemerhatian aku sndiri.


ps: Apa la aku merepek ni...petang bosan tak tahu nak buat apa...

Saturday, 25 February 2012

BAHAGIA DALAM DUKA...

Salam,

Apa itu bahagia? Adakah apabila kita dapat bertemu dengan kekasih yang tercinta dan disulam gelak dan tawa. Adakah di situ terletaknya erti bahagia? Adakah bila mana yang boifren/gurlfren yang ada sangat mengambil berat dan menjaga hati anda dan anda di layan seperti raja/permaisuri. Adakah di situ terletaknya bahagia? Dan di saat anda menyatakan dengan yakin. 'Saya bahagia adanya awak menemani saya sepenjang waktu'. Padahal tiada lagi ikatan yang sah antara mereka. Jadi di mana bahagia?

Lama aku mencari jawapan. Dulu aku kenang bahagia ada bersama dengan yang tersayang. Nyata aku silap dalam menaakul erti bahagia yang sebenar. Dulu aku kenang bahagia itu datang dengan rasa tersenyum girang. Nyata senyum itu tidak terukir sepanjang masa. Dulu aku kenang bahagia itu datang pabila diri ini dapat membahagiakan yang lain. Nyata diri ini tidak terlepas dari khilaf bila mana ada juga hati yang terluka. Dan bila semua ini tak memberi makna dan aku masih lagi kadang berduka.

Murung tak bermaya. Kadang gembira tapi tak lama. Kerana ada saat-saatnya aku hidup terduga. Bila orang yang tersayang mula membenci, bila Allah cabutkan senyum yang kononnya membawa bahagia dan bila mereka yang ku sangka bahagia dengan adanya aku di sisi mereka mula meletakkan jarak akibat khilaf ku sendiri. Ini dugaan. Ini cobaan. Tuhan sedang mangajar aku erti bahagia yang sebenar. Bagaimana merasa bahagia dalam duka.

Jadi, manakah bahagia yang hakiki? Tiada lain. Hanya dengan meletakkan Cinta Mu ya Rabb di persada paling agung di hati ku ini. Dengan meletakkan Cinta Mu di situ, aku merasakan diri ku tenang damai. Hati yang tenang itulah kunci segala bahagia. Hati yang tenang itulah mengajar aku untuk menyambut segala dugaan dengan SABAR. Hati yang tenang itulah mengajar aku untuk menyambut segala nikmat yang datang dengan SYUKUR.

Ya...Memang hati akan terkesan dengan dugaan yang datang. Tapi di situlah kelemahan kita manusia. Tapi jangan meratap pada yang tak sudi. Allah jadikan sandaran. Hati yang tenang itu hanya dengan mengingati Allah. Itu janjiNya dan Allah itu takkan memungkiri janji. Yakinilah...percayalah...berimanlah dengannya. Dan di situlah akan datang bahagia rasa dalam keadaan berduka. Senyum pasti terukir ikhlas kerana diri tidak rasa terbeban dengan takdir. Allah itu perancangannya pasti yang terbaik. YAKINLAH!!

Di kala nikmat yang datang pastikan tiada pegangan yang terlepas kerana percayalah nikmat itu juga merupakan ujian buat kita. Allah mahu menguji hamba-hambanya. Masakan mereka menyatakan diri mereka beriman sedangkan mereka tidak diuji. Nikmat yang datang kita syukuri agar Allah melipatgandakan nikmat yang ada. Dan beringatlah untuk bersederhana dalam apa jua keadaan dan semua itu hanya milikNya. Tiada satupun milik kita.

Dan bila kita melatakkan cinta Allah itu pada tempat yang paling atas insyaAllah, kamu akan bahagia dengan yang tersayang. Kamu akan sentiasa berseri dan tersenyum dengan nurnya iman dan hubungan kamu dengan sesama manusia juga akan pulih dengan sendirinya. Jika kamu menjaga baik hubungan mu dengan Allah pasti hubungan kamu dengan sesama manusia juga akan baik.

Dan kini baru aku telah temu jawapannya. Syukur pada mu Ilahi kerana mengajar aku. Ampun ku pohon kerana diri ini selama ini diri hanyut mengejar fatamorgana...

Monday, 20 February 2012

At Pusrawi

Salam,

Baru je balik dari ziarah pakcik aku yang sakit kat Pusat Rawatan Islam. Dengar je cerita pasal pakcik ni sakit pagi Ahad yang lalu. Bunyi memang kritikal masa mula-mula dulu. Bayangkan jantung pakcik pernah berhenti. Pakcik mula syak just angin badan je. Sebab dia rasa sesak nafas. Rupanya sekali heart attack daaa...

Umur pakcik baru je 49 tahun. Smlm baru buat pembedahan masukkan belon nak tolak benda2 yang tersumbatkat saluran jantungnya. Alhamdulillah pakcik dah ok. Cuma kesian je tengok pakcik masa ziarah tadi. Dia nak minum n makan tapi tekaknya pedih may be sebab masukkan alat bantuan pernafasan tu lukakan tekak dia. Seksa tengok pakcik nak telan air pun teruk Sangkut katanya. Pakcik tak selesa pulak tu. Ada banyak sangat wayar kat badan dia. Sampai ke kaki pun aku tengok ada wayar.

Dalam masa sejam kat Pusrawi tu sempat gak la borak dengan pakcik. Walaupun dengar sayup2. Mulut pakcik kena tekup dengan bantuan oksigen tu. Tu yang dengar sayup2 je tu. Tengok kasihnya makcik pada pakcik buat hati aku macam nak nangis pulak. Lebam mata makcik. May be nangis or tak cukup tido.

Dalam sedih2 tu pun makcik bebel2 gak la sikit dengan pakcik. hehe...Kat sini kelakar pulak aku rasa. Dalam makcik bebel tu boleh pulak pakcik jawab selamba. "Ah, ayang bukan doktor." hehehe...Gelak gak la dengar. Sebab pakcik aku ni memang ceria orangnya. Sakit2 pun dia dok risaukan orang lain. Pesan kat aku. "Jaga tunang elok2 ye. Kang dikebas orang." hehehe...Macam2...

Aku melangkah tinggalkan Pusrawi dengan hati yang lapang. Tengok Pakcik dah boleh gurau macam tu maknanya dia ok la tu. Moga pakcik cepat sembuh...!

Saturday, 18 February 2012

KHAIRAT KEMATIAN

Salam,

Cerita pasal mati lagi? Ini memang kebetulan. Malam Jumaat yang lepas aku kebetulan lepak kat masjid. Tak jemaah pun sebab tak sempat nak maghrib. Sampai rumah dah lewat. Tujuan datang tu nak join baca Yassin n tahlil je.

Habis je tahlil tiba ada ceramah pasal Khairat Kematian ni. Akupun tumpang la dengar. Sebab ceramah ini lebih tertumpu pada ahli qariah masjid dan sebenarnya bukan ceramah sangat pun. Lebih pada sesi dialog. Sebab khairat kematian masjid ni dah pecah kepada 2kumpulan. Terpaksa pihak majlis agama dtg untuk settlekan masalah.

Aku just tumpang2 dengar. Sementara menunggu Isyak. Sambil2 menunggu tu aku terfikir gak. Aku ni ada join ke mana2 khairat kematian?

Rasanya mati nanti banyak kot nak pakai duit. Ada la pengalaman menguruskan kematian saudara terdekat. Sewa Van Jenazah je RM300 masa tu. Kafan lagi. Keranda. Penggali kubur. Banyak2. Kebetulan arwah yang meninggal tu takde join mana2 khairat kematian. Agak sikit menyukarkan.

Rasanya mak n apak ada join khairat kematian kat kg kot. Sebabkan aku ni belum kahwin maka aku masih lagi bawah tanggungan mak pak. Aku takut pulak nak tanya mak n apak. Nanti nampak sangat macam aku buang tabiat. Tiba-tiba tanya pasal khairat kematian.

Aku terfikir jugak. Pasal wasiat. Andai kata ajal datang menjemput, sudahkah harta diwariskan? Setakat ni aku belum buat apa-apa lagi pasal penama pada harta-harta yang ada. Penting benda ni supaya apabila pemergian kita nanti kita tak menyusahkan mereka yang masih hidup untuk menguruskan segala harta kita kerana proses menguruskan harta si mati yang tidak meletakkan penama mmg agak memenatkan dan leceh.

Hutang? Ini juga kena ambil berat. Elakkanlah berhutang dengan orang. Jika berhutang sekalipun segera selesaikan. Aku ada hutang orang ke? Kalau hutang duit tu takde rasanya. Hutang budi tu ramai la...Kalau ada, mintak halal je la...Wassalam

Tuesday, 24 January 2012

MATI

Salam...

Jam 3.00 pagi. Mata tidak mengantuk lagi.Termenung jauh mengingatkan tentang suatu kejadian yang terjadi atas diri. Berlaku sewaktu aku kecil lagi. Dalam lingkungan umur 12tahun. Pada suatu malam sewaktu ingin melelapkan mata, aku tiba-tiba sahaja dibawa berfikir tentang mati. Aku sendiri pun kurang pasti dari mana datangnya rasa itu. Aku hanya termenung kosong memikirkan ke mana aku selepas mati? Dalam aku berfikir. Sehingga tubuh aku menggelatar. Airmata tanpa sedar mengalir. Apa yang paling aku takutkan adalah terputus hubungan dengan orang-orang yang aku sayang dan pada masa itu yang terlintas di fikiran hanya Mak dan Apak.

Aku cuba pejamkan mata untuk terus menghayati. Aku takut. Tapi rasa untuk terus menghayati ke manakah perginya kita setelah mati membuatkan aku terus ingin menghayati. Hingga aku merasakan dunia yang gelap dengan rasa yang kosong. Sekali lagi batang tubuh ini menggelatar. Terasa saja ingin aku bangun dari hamparan pembaringan ku untuk pergi mendakap Mak dan Apak. Airmata ini mengalir lagi. Aku tahan rasa itu. Aku tidak mahu mengganggu tidur mereka. Mereka sudah penat mengerah keringat di siang hari tadi. Akhirnya aku pujuk diri untu melelapkan mata. Lama juga barulah rasa ini hilang. Barulah aku boleh melelapkan mata.

Keesokkan harinya yang terlintas dalam akal budak berusia 12tahun tika itu, memikirkan kejadian malam itu adalah tanda-tanda ajalku sudah semakin dekat. Akupun apa lagi, sudah mula meninggalkan aktiviti kubang di tali air, tunggang basikal dengan cara yang sangat berhemah dan macam-macam lagilah. Hingga akhirnya rasa itu hilang sendiri. Dan hingga saat ini Allah masih panjangkan nyawa ku. Alhamdulillah.

Bila aku mengenang semula rasa itu pada tika dan detik ini, Ya Allah. Aku merasakan Ya Allah. Begitu dekat diriku ini dengan kematian. Begitu kerdil diri ini Ya Allah. Aku pohon pada Mu ya Allah jadikan aku istiqamah dalam segala amal ibadat ku Ya Allah...Amin


ps: ini bukan cerita khayalan. ini rasa yang betul-betul pernah aku rasa. aku tak tahu macam nak rasa share rasa dalam bahasa yang mudah dan korg semua dapat rasa juga. tp itulah apa yang aku rasa masa kecik dulu...Wallahualam

Wednesday, 18 January 2012

AKU SANG PELUPA

Salam,
.
Kadang diri ini terlalai dan alpa dengan fananya dunia.
Kadang diri ini terlupa tanggungjawab kita padaNya.
Selama ini aku hilang mencari diri.
Selama ini aku hilang kerana aku diuji.
Ujian yang datang bertubi-tubi.
Buatkan aku hilang minat untuk memberi.
Buatkan rasa cinta itu hilang dan tumpul.
Maafkan aku, aku Sang Pelupa.
Aku lupa niat,
Aku lupa tanggungjawab,
Aku lalai akan syariat,
Aku laiai dalam perjuangan.
Hayunkanlah rotan khifarah Mu,
Biar berparut, biar berbirat,
Agar aku sentiasa ingat,
Apa dia matlamat akhir menuju akhirat.
Wadah ini akan menjadi tugu pengingat.
Supaya aku tidak jauh tersesat.

Thursday, 1 December 2011

MENGADU SEPI...

Salam,

Kadang sukar untuk mencari titik persamaan antara aku dan dia. Kadang sukar untuk mengerti terjemahan maksud kata seperti jarum yang menusuk hati. Adakah itu datangnya dari orang yang kita sayang? Orang yang paling kita sayang itulah nanti yang akan meremuk redamkan hati ini kerana segala harapan dan perhatian yang kita sandarkan dibalas dengan kata-kata nista. Mungkin tiada maksud dihatinya untuk meramas sekeping hati. Mungkin kita dari dua planet yang berbeza. Mungkin sukar bagi kita untuk mencari titik silang yang selama ini hanya selari tanpa ada silang temunya.

Jika toleransi itu ubatnya, kenapa begitu sakit hati ini dalam proses mengenali sekeping hati bernama wanita? Sampai bilakah hati ini akan terus bertahan dengan kata "takpela awak sibuk kot ni"? Kadang sepi ini membuatkan diri ini selesa tanpa kehadiran mu. Bila rindu yang bertandang ini dilayan sepi. Bila mana hati ini sudah kebas dan lali ditusuk berulang kali. Hati ini hilang rasa. 

Tapi hati ini berat untuk melepaskan. Mungkin ada cinta yang tersisa yang cuba ku pertahankan. Ketahuilah sukarnya hati ini mengemis sekelumit cinta. Yang terlihat di mata mu hanya diri ini yang cuba mencari salah dan silap mu. Diri mu terlalu tinggi di puncak sana. Ego yang mendongak langit. 

Mungkin aku merasakan apa yang terjadi ini adalah sesuatu yang tidak baik buat diri ini. Tapi Allah mungkin sedang merancang sesuatu. (Al-Baqarah 2:216). Langit tak selalunya cerah. Mungkin ini masannya untuk aku muhasabah diri. Biarlah sabar yang menjadi pengubat kerana aku percaya jodoh ini datangnya dari Mu. Jadi bimbinglah aku ya Allah untuk merencana hati ini supaya dapat membahagiakan dia. 


Ps: kami telah selamat ditunangkan pada 28hb itu hari...tapi dalam keadaan jiwa ini merana sikit. Mak masuk hospital. kerja pulak terumbang-ambing kat Perlis ni...huhuhu...Pada tunang...Jika kamu dapat melihat apa yang ada dalam hati ini, barulah kamu akan mengerti agaknya...Hikmah...aku percaya pada hikmah Mu...

Sunday, 20 November 2011

KENAPA SAYANG SAYA?

Kenapa sayang saya? Kalo korang kena tanya dengan awek/pakwe/bf/gf/future wife apa jawapan yang paling tepat korang nak bagi? Kalo tak spontan karang katanya kita tak ikhlas pulak karang. Nak main jawab je kang takut salah jawapan. Kecik hati plak kang. Akupun kadang kena tanya juga soalan macam ni. Selalunya aku pilih jalan selamat. Jawapan aku : "Awak kena tanya diri awak dulu, kenapa sayang saya?" Selamat ke? Kira selamat jugak la. Bukan aku elak nak jawab dan bukan aku main hentam je bg jawapan selamat mcm tu.


Pada aku, persoalan kenapa sayang saya itu tidak harus dipertikaikan. Aku juga ada terlintas nak bertanya yang sepertinya pada pasangan. Tapi seringkali aku bermonolog, "Kenapa aku sayang dia"?

Bukan aku takde jawapan untuk ini. Ada, dah lama ada. Tapi dengan perangai dan keadaan aku yang seperti ini dengan iman yang kadang turun dan naik. Aku terlalu malu untuk mengungkapkan yang aku sayangkan dia kerana Mu ya Allah. Kadang aku rasakan diri ini terlalu hodoh untuk menggarap cinta di atas jalan Mu ya Allah. Kadang aku rasakan diri ini terlalu hina untuk membentang hamparan cinta di atas halaman Mu ya Allah.

Tapi itu semua bukan alasan untuk aku meletakkan cintaku di jalan yang salah. Iman dan amal harus dipertahan. Keredhaan Allah itu sentiasa ku cari kerana aku mendambakan ketenangan beragama. Ketenangan atas sandaran iman yang teguh.

Jika benar cinta ini adalah kerana Mu ya Allah maka tegakkan lah cinta ini di atas redhaMu. Pimpinlah kami ke jalan Mu ya Allah. Bimbinglah kami mencari syurga Mu yang hakiki. Peliharalah kami, dari neraka Mu. Jauhilah kami dari perbuatan terkutuk yang boleh mendatangkan kemurkaan Mu ya Allah. Satukanlah kami dengan rahmat Mu. Jodohkan kami dengan keberkatan Mu.

Dan. Saya sayang awak sebab saya terlalu mencintai Dia kerana Dia lah yang kekal abadi dan saya tidak mahu menyandarkan cinta saya ini pada sesuatu yang fana.

Wallahuaalam

Wednesday, 19 October 2011

PASIR

Salam,

Apa yang aku nak cerita kat sini bukan pasal pasir sgt sebenarnya. Aku kan penulis Travelog Cinta. Takkan nak cerita pasal pasir pulakkan. Mesti kena berkait dengan hal-hal cinta punya. pasir punya hal tu, hanya sebagai metafora pada apa yang aku nak ceritakan sahaja. Aku tukarkan PASIR tu dengan JODOH. Jika diberi pilihan, korang akan pilih isteri/suami yang sempurna peribadi sedari awal ataupun seorang isteri/suami yang berubah perlahan-perlahan asbab cintanya kepada kita kerana Allah.

Aku pastinya memilih sebutir PASIR yang bergumpal dan termampat padu dengan kasih sayang berubah perlahan menjadi sebutir MUTIARA. Sinarnya pasti akan menerangi hidup ini. Nikmatnya bukan saja hadir pada sinar yang ada. Tapi juga melalui sulaman kasih sayang tulus ikhlas mengharap redha dariNya. Pastinya akan ku hargai mutiara ini hingga akhir hayat ku.

ps: Aku tulis ni untuk Bunga Bakung. Sedari awal lagi aku menyatakan pada dia, aku sememangnya tidak mencari kesempurnaan dalam dirinya kerana aku mencari sebutir PASIR...Pasir pasti pada awalnya akan terurai. Anggaplah itu sebagai ujian dariNya untuk mendidik kita tentang erti SABAR dan IKHLAS. Akan aku kutip setiap urai butir pasir ini...MUTIARA pasti akan ada.

Monday, 3 October 2011

DAPAT JUGA AKHIRNYA...

Salam

Ini kisah rentetan dari entri AKU TIADA HAK. Wali si bunga bakung tak membenarkan aku bawa bunga bakung jumpa mak. Aku sebenarnya di dalam dilema juga. Aku tak sedap juga bila dikatakan membelakangkan keluarga. Kadang terasa pendapat dan kata-kata orang sekeliling kita ni perlu di ambil kira. Siapa kita di sisi masyarakat juga adalah penting. Kita tak nak dilabelkan sebagai anak yang derhaka.

Lalu aku pendekkan cerita sebab mata pun dah ngantuk ni. Berkat dari rahmat Allah, sekembalinya aku dari Perlis minggu lepas mak akupun sudah berada di Klang. untuk menghadiri jemputan walimah saudara. Pertama kalinya mak dan apak aku naik bas datang Klang. Sebab aku takde nak amik mak dan apak kat kampung. Malam hri sewaktu tiba dari Perlis aku sempat lagi nak berborak dengan mak. Aku nak adjust mak datang umah bunga bakung.merisik. Tapi fault terbesar yang aku buat aku tak sempat lagi nak pergi kedai beli cincin merisik. Mak kata nak merisik kena la ada cincin. Nanti tunang la baru jumpa bunga bakung. Kata mak.

Pendekkan cerita lagi, tanggal 25/9/2011 pukul3 ptg mak pak aku boleh buat surprise tiba-tiba. Masa tgh kerja lagi. Kakak aku yang sulung call ajak pergi merisik. Mak nak merisik. Terperanjat beruk aku beb. Tiba-tiba je cakap nak pergi merisik. Aku tnya la yong mana ada cincin. Yong jawab selamber. "Kita cakap la nak datang beraya. Ape ke henya nak kawin kita tak pernah berjumpa. Takkan nak nunggu kawin baru nak jumpa". Senyap terus aku.

Pendekkan cerita lagi. Aku dan satu keluarga besar aku siap dengan bala tentera bagai seranglah rumah bunga bakung. Aku terseret sama masuk. Igtkan nak tunjuk jalan je. Tup;;;tup...abahnya bunga bakung letak title lawatan kami tu sebagai lawatan merisik. Tapi abahnya cakap tak payah la nak bercincin. Tunang nanti hantar 1cincin je. Jimat!!!!hehehe

Tapi abahnya bagi hint hantaran macam nak letak harga standard sekarang je. Takpela. Mak pun kata ikutkan aje. Akupn jatuh kepala jela...huhu

Finally mak dan pak aku dapat jumpa Bunga Bakung...Besarnya kuasa Allah. Meletakkan jalan yang mudah pada aku untuk membina jambatan ke syurgaNya. Jalan yang dihiasi rahmat dan redhaNya insyaAllah. Moga dipermudah hingga ke akhirnya.


ps: Penulisan semakin jauh dari gaya tulis yang kreatif...Maaf.

Thursday, 22 September 2011

AKU TIADA HAK...

Salam


Alhamdulillah...Boleh menulis lagi di pagi yang hening ini. Aku masih lagi di Arau menjalankan tanggungjawab. Outstation ni la baru ada kesempatan nak menulis.Hari ini aku main dengan konflik dalam hati lagi. Kesian kat dia jadi mangsa moody aku hari ni. Aku tak marah dia ok. Just tak ada mood. Setelah berbincang elok-elok, dia faham and kami ok je lepas beberapa saat. Terima kasih Bunga Bakung kerana setia. Dah lama tak ngaji. Tu yang banyak setan dalam kepala ni.

Bukan mudah rupanya nak menjalankan sesuatu yang pada mata kita adalah benar. Dan ianya sememangnya benar. Ada je orang dok nak mengata. Ada je yang tak puas hatinya. Buat aku hilang sabar je. Adakah sesuatu yang menjadi kesalahan jika aku tak membawa future wife bertemu dengan mak? Ikut adat orang sekarang ni la, memang kena bawak. Tapi apakan daya aku. Walinya tak membenarkan. Tak manis katanya. Akupun akur je la. Apa hak aku nak melawan kata Walinya? Kang elok-elok boleh jadi menantu tak pasal-pasal kena pangkah awal pulak kang. lagipun memang betul apa kata Walinya. TAK MANIS.

Tu pun ada orang dok mengata lagi. 'Macam la anak dia tu lawa bebeno'...Haloooo...Bunga Bakung memang lawa pun. Biarlah abah dia nak simpan dia pun. Korang susah hati tu kenapa? Payah la kalo dah ada yang dok tak puas hati mengata-ngata ni. Akupun malas nak ambik port sangat. Sebab bukan depa bagi aku makan pun. Bio la. Selagi apa yang aku buat ni aku rasa betul tak membelakang Tuhan. It's ok.

Akupun dah tanya mak. Dah cerita semuapun. Mak tak kisah. Janji kita buat memang nak bagi jadi. Lagipun anak mak ni laki. Laki ni memang kadar terikat dengan familinya longgar sikit. Janji ko hepi nak...Lebih kurang macam tu la cakap mak aku. mak aku very2 supportive. Sayang mak lebih. Hujung minggu ni kita jumpa yer mak. Lama dah tak jumpa mak. Kalo ada jodoh mak dengan Bunga Bakung jumpa la kita nanti. Mama Bunga Bakung dah bagi green light.

Walaupun aku ni bukan orang baik. Tapi aku cuba nak buat benda betul. Jangan la labelkan aku seorang yang warak. Kerana aku jauh dari itu. Bukalah minda anda kalian. Sampai bila kita nak mencari silap orang? Renung dan muhasabahlah diri. Tiada salahnya menghormati hak orang. Pasti orang lain akan hormat hak anda.

ps: merajuk-rajuk masa tengah bercinta adalah sesuatu yang aku rasakan sangat hipokrit...ada betulka??? Ke aku sorang je yang rasa...huhu

Wednesday, 21 September 2011

MEH, NAK CHECK HENPON JAP...

Salam...

Idea nak menulis tajuk entri dtg lama dah. Waktu berbuka puasa dengan famili akak aku bulan lepas. Masa tengah syok mengadap makan ni sambil dok usha Aiman dok jilat botol kicap. Tiba-tiba henpon abg ipar aku berbunyi menandakan ada mesej masuk. Abang ipar aku masa tu takde kat meja makan. Dia solat maghrib dulu agaknya. Akak aku yang tgh memboyot ni la boleh bangun dari meja makan pergi usha mesej apa yang masuk. Terdetik di hati ku; 'takpe ke akak aku buka mesej abg ipar?' Aku tau abg ipar aku bukan jenis yang mcm korang pikirkan. Maksud aku yang negatif la. Abg ipar aku ni baik orgnya.

Akupun lepas makan solat jap. Kemudian baring la dalam bilik sambil tangan dok atas dahi mata pandang siling. Dok pikir. Kalau aku ada bini nanti marah tak aku kalo bini aku check henpon? Rasanya tak kot. Memang la privasi. Tapi penting juga pada aku untuk bersifat telus. Sebab telus tu nanti dapat elakkan daripada syak wasangka dan berfikiran bukan-bukan yang pastinya akan meleret-leret membawa kepada sesuatu yang kurang enak.

Kadang-kadang sifat kuat berprasangka ni bukannya datang dengan sengaja. Mungkin partner korang nanti seorang yang banyak duit tak pun mempunyai rupa paras ala-ala Johnny Depp  atau Aishwarya Rai. Maunya tak senang duduk korang nanti. Daripada korang dok main konflik dalam bermonolog sendiri, pikir benda yang bukan-bukan baik korang terus terang je dengan partner. Meh, nak check henpon jap. Bukan tak percaya. Tapi kita terlalu sayangkan dia. Dan jika diaorang ni jenis makhluk Allah yang memahami dan dapat merasakan yang kita buat semua ni pun adalah atas dasar terlalu sayangkan hubungan mesti dia berlapang dada nak bagi korang check henpon punya.

Mesej dari entri untuk orang yang dah berkahwin or sedang menjalinkan hubungan. Harap sampai la hendaknya. Marilah kita menjadi insan yang telus, bukan sahaja pada pasangan malah dalam setiap apa yag kita lakukan... Wallahualam

ps: aku tak kisah pun kalau future wife nak check henpon...SILAKAN. Huhuhu

Tuesday, 20 September 2011

LANDASAN YANG BETUL

Salam, aku sekarang dah jarang nak update entry kan? Sory la. Jgn la ada yang memandang aku dah hilang minat nak menulis. Just macam entri sebelum ni, aku terlau sibuk dan penat untuk menulis. Alhamdulillah takde lagi yang unfollow aku lagi. Terima kasih. Aku tak menulis tapi aku still lagi meninggalkan komen kat entri2 korang. Sekarang ni baru ada masa nak menulis. Sebab dok jauh dari Shah Alam n bekerja jauh dari bos. Boleh la rileks sikit. Rezeki, bos bagi kepercayaan handle pembukaan untuk cawangan baru kat Arau ni. Seminggu kat sini tapi tak berapa nak rileks la. Banyak benda kena buat.

Ni dok sorang2 baru la ada idea datang nak menulis. Macam yang aku tulis dalam entri sebelum ni aku dah nak bertukar status dah lepas ni. Minta semua kawan-kawan doakan semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah setakat ini semuanya di landasan yang betul. Bagai suatu keajaiban.Semuanya bermula dengan pertemuan yang dirancang melalui orang tengah. Sampai la aku jumpa wali dia, sedar-sedar dah nak kahwin dah.

Setakat ni byk jalan yang dipermudahkan Dia. Moga sampai akhirnya la dipermudahkan. Mungkin ada dugaan di sana sini. Tapi semuanya lebih pada konflik dalam diri je. Maklum la nak kawin dengan orang yang kita tak berapa nak kenal. Bukan nak tunjuk aku ni anti-couple. Just nak buat yang betul. Tak nak terkurung dalam budaya sekarang, couple dlu baru kawin. Maaf la mana yang terasa ek. Aku just state nak buat yang betul maknanya bukan aku ni baik sangat.

Saat bahagia ni moga Allah tak menjadikan aku insan yang lalai. Moga diri ini sentiasa beringat kerana bahagia ini juga merupakan ujian jua dari Allah. Moga diri ini tidak terlupa dengan cara mana untuk mentadbir cinta dan tidak hanya nanti menyalahkan takdir kerana salah diri yang salah dalam mentadbir. Moga diri ini tidak terlupa dalam mencari redha Allah. Dan pinta ku Ya Rahman, jgn la Kau jauhkan aku dari lingkung rahmat mu setelah Kau berikan aku petunjuk dan hidayah untuk mengejar cintaMu yang pastinya sesuatu yang abadi. Wallahualam...untuk aku menulis sememangnya memerlukan waktu tenang seperti ini yang selalunya jarang aku miliki. kerna diri ini terlalu sibuk dan terima kasih ya Allah kerna menjadikan hambaMu ini sentiasa sibuk kerna dengan ini aku tiada masa untuk memikirkan sesuatu yang sia-sia.


ps: dia dah beli baju tunang...aku??? (dah macam Iffah lak...huhu...moga cepat sembuh Iffah)

Saturday, 10 September 2011

KESIBUKAN MELAMPAU...

Alhamdulillah...diberi kesempatan untuk menulis lagi hari ni. Selamat Pagi Malaysia. Selama ni mmg takde ruang dan peluang sangat nak update blog.nak pergi singgah blog kawan2 pun tak sempat. Minta ampun yer. Aku try catch up balik entry korang nanti.

Pagi ni bangun subuh bidis2 je nak terlajak. Dek kerana tido lambat sgt malam td. Leka dok bersembang dengan jiran sebelah rumah. Che Wan nama dia. Aku dah dok kat Klang ni dekat setengah tahun dah rasanya. Ni lah pertama kali baru ada peluang nak berborak dengan jiran. Pikir balik dah ngalahkan PM pulak aku ni sibuknya. Che Wan cakap selalu nampak bayang2 aku je. Pagi keluar, malam baru balik. Malam td je kebetulan aku tak pergi mana. Cuti sementara. Tu yang ambik kesempatan berborak dengan Che Wan. Macam-macam diborakkan dari part jodoh sampai la ke part sukan semasa. Byk pengalaman Che Wan ni. Org besar kat MPK sape nak masuk tender boleh la lobi beliau. Malam td juga la Che Wan baru tau nama aku. Selalu dengar Pak Tam je anak buah panggil.hehehe

Dek kerana kesibukan yang melampau juga aku pernah tak jumpa anak buah and akak aku dekat seminggu tau. Padahal dok 1rumah. Last2 jumpa kat kampung je. Sebab kebetulan balik kampung. Tu pun akak sampai ptg, aku sampai malam. Tu jam baru terfikir Ya Allah baru sekarang dpt dukung Aiman. Lama dah tak jumpa rupanya. Macam mane nak jumpa akak n anak2 buah ku sebab pagi2 lagi akak n anak buah dah pergi sekolah. Aku lak dok terkial-kial dalam bilik baru nak seterika baju. Nak kemas-kemas. Keluar bilik je dah sunyi je. Semua dah takde. Peh tu malam lak pukul11 baru sampai rumah. Semua sudah tido. Kadang rasa macam dok umah ni sorang2. Padahal ada ramai je isi rumah.hahahaha

Pikir-pikir balik sampai bila aku nak sibuk mcm ni. Buatnya aku dah beranak pinak nnt kesian la kat bini n anak-anak. Mesti kurang kasih sayang. Harap kehidupan aku bertemu dengan titik imbang yang menstabilkan kehidupan duniawi dan akhirat. Waktu bujang ni la nak pulun kerja pun. Sebab pada aku kerja itu pun satu ibadah. Jika niatnya kerana Allah tanpa ada mengabaikan yang wajib dapat pahala kita beb...Kan senang je nak dapat pahala. ISLAM itu memang sesuatu yang sangat INDAH...Wallahualam

Friday, 9 September 2011

TANYA SAMA POKOK...

Ini bukan nak cerita pasal lagu MUH feat Hazama. Ini nak cerita pasal asbab sesuatu kejadian. Korang pun tahu  apa sebab pokok goyangkan. Lagu tu sendiri suruh tanya pokok. Sebab apa tanya pokok? Secara metafora pokok je la yang tahu apa sebab pokok goyangkan...

Begitu jugaklah dengan hidup ni. Tuhan tak menjadikan sesuatu itu dengan tiada sebab kerana setiap apa yang Allah cipta dan jadikan itu pasti ada kebaikan dan hikmah yang tersendiri. Segala keburukan itu datang dari tangan manusia itu sendiri. Yang kejam dan zalim itu juga adalah manusia itu sendiri kerana menafikan yang hak dan meletakkan sesuatu itu bukan pada tempatnya.

Korang pernah dengar quote ni "dah takde jodoh". Agak-agak korang la kan. Boleh terima gitu je ke, kalo kekasih korang guna quote ni? Kelakarkan? Sendiri dah tawar hati. Senang-senang je salahkan jodoh. Tak tahu ke jodoh tu kerja Allah. Kalo dah salahkan jodoh, sama je la salahkan Allah. Memang Allah yang menentukan jodoh, itu memang dah termaktub dalam KalamNya. Tetapi setiap kali Allah meletakkan satu titik noktah pada satu pertemuan jodoh itu adakah ianya berlaku begitu sahaja? Tanpa ada asbab disebaliknya. Pasti ada, dan yang pasti yang baik itu dtg dari Allah dan yang buruk itu dtg dari diri kita sendiri. Jadi apa yang aku nak tekankan kat sini. Jangan sewenangnya menyalahkan jodoh setipa kali berlakunya perpisahan tanpa kita melihat kepada asbabnya. Itu sebab la, kadang kena TANYA SAMA 'POKOK'. Wallahualam

NIKMAT MENANG!!!

Minta maaf la sebab dah lama tak mengemaskini blog. Dah lama tak menaip entri. Bukan hilang minat. Bukan jemu. Bukan mental block. Bukan malas. Cuma, bulan Ramadhan ini aku diduga dengan ujian dari Allah. Aku tiada masa untuk menaip sebarang entri. Dan tak terlewat rasanya jika aku nak mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. Minta ampun jika ada salah dan silap. Entri kali ni pun sebenarnya pasal raya. Betapa bermaknanya raya aku tahun ni. Syukur ku panjatkan ke hadrat Ilahi…

Di awal Ramadhan aku diduga dengan keadaan kesihatan Mak yang membimbangkan. Aku sudah merancang untuk pulang ke kampong pada awal puasa. Niat di hati memang ingin berbuka puasa bersama mak dan apak. Aku dah siap minta cuti siap-siap kat bos, sebab kebetulan awal puasa jatuh pada awal minggu. Tapi kita manusia merancang.  Allah juga merancang. Nescaya, perancangan Allah itu lebih baik dari apa yang kita rancangkan. Ternyata memang dugaan yang Allah datangkan ini membuatkan aku tersenyum sendiri di pagi hari raya. Bila melihat Mak kembali ceria melayan kerenah anak-anak dan cucu-cucunya. Niat aku untuk berbuka bersama mak dan apak juga terlaksana di akhir Ramadhan.

Di awal Ramadhan juga aku didatangkan dengan anugerah dari Allah. Berkat doa orang-orang yang tersayang serta diri sendiri yang tanpa jemu memohon supaya Allah mempertemukan jodoh dan mempermudahkan jalan untuk aku membina sebuah masjid. Hinggalah raya menjelang Wali si Bunga Bakung meminta aku datang ke rumahnya untuk berkenalan lebih rapat. Alhamdulillah…Walaupun ada tersasul di sini sana. Peluh bercucuran dek kerana nervous yang amat. Berbakul rasanya tisu aku buang kat atas meja. Semua urusan dipermudahkan. Dalam waktu yang terdekat ini aku dah nak bertukar status. Tiada apa yang lebih menggembirakan di hari raya ini setelah apa yang aku tempuhi selama ini dibalas oleh Allah dengan penuh hikmah.

Di awal Ramadhan juga aku diuji oleh Allah dengan ujian ditempat kerja. Apabila aku diarahkan menguruskan projek yang agak mencabar yang rasanya tak mampu aku pikul memandangkan masih hijau dalam bidang ini. Tapi ku sahut jua kerana memikirkan aku harus keluar dari zon selesa untuk menjadi yang lebih baik. Namun di hujung Ramadhan aku hampir tersungkur apabila projek yang dirancang menghadapi masalah yang agak berat. Aku hampir berputus asa. Namun, seperti satu keajaiban yang Allah susun, hari terakhir sebelum cuti raya rahmat Allah itu datang. Masalah dapat diatasi dan tidak menjejaskan mana-mana pihak. Alhamdulillah…dah boleh beraya dengan hati yang gembira. Kalau tak sepanjang minggu tu muka aku memang ketat gila. Dah pasang niat tak nak balik kampong raya ni…hehehe…


Dan di sepanjang bulan Syawal ini aku masih lagi memikirkan betapa besarnya nikmat yang Allah berikan dalam hidup ini. Tuhan duga aku pada mulanya dan kemudian Tuhan buka jalan satu persatu. Syawal ini bukan sahaja kemenangan pada aku dalam melawan hawa nafsu. Tapi kemenangan ini benar-benar bermakna apabila setiap dugaan mendatangkan rasa syukur yang tak terhingga. ORANG YANG PERNAH SUSAH JE TAHU NIKMATNYA SENANG...

Friday, 19 August 2011

BUNGA BAKUNG

google
Bunga Bakung Putih
Sangat berbeza dengan bunga-bunga yang lain.
Warna putihnya kelihatan tulus dan suci.
Setiap kelopak yang mekar sempurna
Melambangkan keteguhan hati
Dalam kelembutan jambangan mekarnya
Harum wangi baunya mengundang seribu kedamaian
Merungkai sepi tatkala melihatnya
Membuat hati merasa tenang
Hadirnya membuka gerbang hati
Yang dulunya tertutup rapat
Dek kerana luka lama yang sukar sembuh
Di tusuk mawar berduri
Umbinya bunga bakung ibarat penawar ajaib paling mujarab
Mendatangkan sempurna dalam setiap jambangan




RODA ITU TAK SELAMANYA DI BAWAH. ALLAH ITU TAK KIKIR DALAM MENGABULKAN DOA SETIAP HAMBANYA. SETIAP LANGKAH YANG DILALUI ADALAH LEMBARAN RISALAH BERKAT DOA-DOA ORANG YANG TERSAYANG. MERINDUI SEKUNTUM SENYUM YANG IKHLAS. SETELAH MENDUNG YANG KELAM

Friday, 12 August 2011

DUGAAN RAMADHAN 3

Tanggal 9/8/2011 yang seperti yang aku ceritakan dalam entri sebelum ini mak aku akan melalui satu pembedahan kecil. Ikutkan yang betulnya tak bedah pun. Hanya satu prosedur piawai je. Masukkan kamera dalam perut mak. Doktor kat hospital Manjung cakap bedah. Apala punya tur...Nasib baik aku ni bijaksana pergi la mengoogle ape ke mendanya ERCP tu. Rupa-rupanya Endoscopic Retrograde Cholangiopancreatography Procedure. Apa benda ni? Kalo korang rajin baca la kat sini. Mak patut dijadualkan dibedah di hospital besar Ipoh.

Tapi malang sememangnya gagal dihidu kehadirannya. Boleh plak doktor kat Hospital Ipoh tu cakap dalam masa 3tahun saya jadi doktor ni, inilah kali pertama berlaku. Kamera endoskopik yang kitaorang gunakan putus dan gagal berfungsi. Peeehhhh...memang best la doktor ni. Yang bestnya mak aku tak sempat guna lagi menatang endoskopik tu. Setelah sehari suntuk menunggu. Memang tercabar keimanan ku. Ikutkan hati mahu je aku bako Hospital Besar Ipoh tu.

Maunya tak, aku bertolak keluar dari rumah pukul 3 pagi tau tak Dr. Selvan oi!!! Tunggu kat Hospital ni dari pukul7 pagi sampai la pukul 3 petang ni hasil yang kita dapat. Dah la aku baru sampai dari Shah Alam pukul2 pagi. Tup..tup...mak aku ngerang sakit kol3 pagi. Terpaksa la bawak mak pergi hospital Teluk Intan dulu. Sampai je kat Hospital Teluk Intan kena tggu mak dirawat makan masa 2jam. Kol5 baru setel. Ingatkan Hospital Teluk Intan nak la bawak mak prgi Hospital Ipoh sebab mak dah dijadualkan menjalani ERCP di sana. Haram nak nolong bawakkan. Aku jugak yang nak kena bawa. Gagah jugak la aku drive demi mak aku. Takkan aku nak merayu-rayu pulak suruh diaorang bawak mak. Aku ada! Aku akan jaga mak. Diaorang tak nak takpe. Terima kasih doktor kat Hospital Teluk Intan kerana hilangkan rasa sakit mak.

Sampai kat Hospital Ipoh dah la kena tendang sana kena tendang sini. Sebab mak punya appointment tu tak tercatat dalam jadual Hospital Ipoh tu. Kena daftar dari awal. Sian mak kena naik turun tangga. Aku sayu je tengok mak. Mak nak makan. Tapi tak berani sebab takut perut mak sakit balik. Tu mak jadi macam tak bermaya je. Banyak beno kerenah birokrasinya. Malas aku nak cerita semua. Tahan je la. Anggap je la manusia tu lemah. Redha.

Sekarang waktu entri ini ditulis mak dah pun selamat menjalani ERCP kat hospital Selayang. Aku juga yang bawak mak sendiri dari Perak ke Selayang. Mak sekarang hanya perlukan rawatan susulan untuk membuang batu karang dalam hempedu mak yang tersumbat dan menanah. Ada lagi prosedur selanjutnya yang sehingga sekarang masih lagi samar-samar. Mak masih lagi ditahan di wad. Moga mak cepat sembuh.

Pasti ada hikmahnya disebalik dugaan ini...