Sunday 8 May 2011

Bila Allah menduga...?

Ingatlah 'Cinta', pelajari lah sesuatu dari peristiwa ini. Mustahil bagi kita, untuk melupakan kisah silam. Kisah silam sudah menjadi sebahagian daripada kita dan aku di sini bukanlah untuk berlakon menjadi ustaz. Moga Allah ikhlas niatku dan sentiasa istiqamah dengan apa yang aku buat. Kita sama-sama jahil Cinta. Aku menulis ini dari pengetahuan selepas kejadian ini berlaku. Aku jadi dahagakan ilmu selepas diduga Allah sebab aku rasakan diri ini terlalu banyak yang aku tidak tahu. Sudah banyak buku yang aku baca, sudah beribu artikel yang aku baca. Sudah banyak soalan yang aku tanyakan pada Ustaz. Aku ingin menjadi seorang yang tahu. Bukan untuk aku bebangga diri, bukan untuk menebar riak di hati ini, bukan mencari hujah untuk menjatuhkan Cinta. Aku dengan rasa kerdilnya, aku dengan rasa penuh ikhlas, mencari hujah untuk memperbetulkan langkah kita Cinta. Bukan tujuan untuk agar kita dapat bersama. Demi masa depan kita Cinta. Demi masa depan Cinta dan bakal suami dan demi aku dan bakal isteri.

Dugaan yang Allah turunkan pada kita ini, merupakan kifarah dari Allah Cinta. Ketahuilah, ini kerana langkah kita telah pincang dari mula lagi. Cinta kita telah lari dari syariat dan aku sebagai seorang lelaki yang sepatutnya memimpin hubungan ini ke jalan Allah telah gagal. Walaupun Allah telah kurniakan Cinta pada saat aku memperhambakan diri dengan Allah memohon jodoh yang baik. Lalu aku lalai kerana membiarkan hubungan ini terus hanyut. Aku lupa janji aku dengan Allah. Aku tinggal kitab-kitab ilmu yang mana menjadi makanan sampingan rohani ku suatu ketika dulu.

Bila Allah menduga kini baru lah aku sedar. Ianya benar-benar sudah terlambat. Aku serahkan semuanya kepada Allah. Jika takdir membawa kita bersama, jika kamu memang tercipta untuk ku, dengan izin dariNya pasti kita bersama. Aku sebagai seorang lelaki tidak akan melakukan kesilapan yang sama. Aku sedang mempersiapkan diri ku sepenuhnya. Aku mencari taubat nasuha di dalam munajat aku setiap hari. Agar aku tidak kembali lalai. Agar aku sentiasa istiqamah dalam setiap perbuatan ku. Ketahuilah Cinta iman ku tidak sempurna tanpa ada seorang wanita yang meyokong ku dalam mengejar kesempurnaan dunia dan akhirat.

Allah melarang kita berputus asa. Teruskan lah berdoa Cinta agar temu bahagia. Jangan putus berharap dengan rahmat Allah. Sematkan lah rasa rendah diri dan sekerdil-kerdil manusia. Kita hanya hamba disisiNya. Sisipkan lah rasa memaafkan sesama insan kerana memaafkan itu akan bisa merawat hatimu dan membahagiakan. Perbaikilah solat mu Cinta kerana solat itu tiang agama kerana solat itu akan menjadi benteng pertahanan yang utuh dari melakukan perkara yang sia-sia dan berdosa. Bersihkan lah hati mu dari melihat dunia semata-mata Cinta, kerana dunia ini hanya sementara. Akhirat sana yang kekal abadi Cinta. Hormatilah seorang pemimpin yang bakal memimpin kamu Cinta ke syurga nanti. Jangan lah Cinta melenting jika seorang pemimpin itu bersifat tegas kerana memang lumrah seorang pemimpin harus bersifat tegas kerana pemimpin ini banyak memikul tanggungjawab yang besar di atas bahunya. Syurga Cinta juga di bawah tanggungjawab pemimpin ini. Jika pincang seorang pemimpin maka pincanglah segala. Ketahuilah apa itu ikhlas Cinta. Satu sifat yang misteri yang dikurniakan Allah pada mereka yang mencari redha Allah dalam setiap perbuatan. Bukakan lah pintu hati mu Cinta. Dahagakan lah ilmu Allah kerana kita sama-sama jahil. Kita sama-sama seorang yang tidak tahu dan sesudah tahu beramallah dengan ilmu yang ada.
Aku tidak mengharapkan apa-apa dari penulisan ku ini. Hanya Allah yang menilai sejauh mana keikhlasan ku kerana aku sendiri turut mengingatkan diri ku sendiri dengan menulis begini. Wallahualam....

No comments: