Thursday 30 June 2011

KIFARAH CINTA


Aku insan yang terkifarah kerana cinta hamba. Tidak sekali aku sesali apa yang terjadi ke atas diriku ini. Semua ini sudah ketentuanNya. Semua ini telah diatur untuk ku, hamba Mu yang tersasar langkah dalam mengalur cinta yang berkiblatkan nafsu. Tidak sekali aku meletakkan salah dan silap ini di atas mantan. Terima kasih kepada mantan kerana meletakkan noktah pada hubungan yang terlarang ini kerana diri ini tiada daya untuk melakukan sedemikian. Diri ini sedang mabuk dilambung ombak nafsu. Walaupun tiada kepastian atas dasar apa hubungan ini terhenti. Bukan itu yang mahu ku cari. Bukan jawapan itu yang ingin ku cari. Aku mencari hikmah disebalik kifarah Allah ini. Biarlah diri ini sahaja yang merasa akan kifarah ini kerana mantan mungkin belum tiba masanya. Aku telah melakukan sedaya untuk menyedarkan mantan.

Dulu aku merasa nikmatnya dunia. Aku merasa nikmatnya cinta hamba. Bagaikan lautan nikmat yang terbentang luas. Saat bersama ku rasakan bagaikan tiada apa yang dapat memisahkan kita. Saat cinta dan hati kita bertaut ku rasakan kita akan kecapi bahagia selamanya. Ku sangkakan hamparan oasis yang terbentang fana yang dapat menghilangkan dahagaku. Ku korbankan segala untuk kecapinya. Ku abaikan segala untuk mengejarnya. Rupanya hanya hamparan fatamorgana yang tidak akan sama sekali menghilangkan kehausan ku.

Dulu pelbagai janji telah ku taburkan. Pelbagai impian telah ku bina untuk memiliki kononnya sebuah istana impian di mana sang mantan adalah permaisuri yang bersemayam di singgah sana. Manakala akulah Raja di samping sang mantan. Ku bina sebuah istana khayalan atas lapangan nafsu yang mendap. Ku bina istana khayalan dari sebuah tiang iman yang rapuh. Lalu bila ketentuan Allah itu datang untuk menyuluh hati hamba-hambanNya istana khayalan hanya kekal sebagai sebuah istana khayalan malahan runtuh menimpa tuan. Jangan diratapi kemusnahan impian. Ratapilah keruntuhan iman. Jangan disalahkan mantan kerana mantan hanya permaisuri yang bersemayam. Raja yang sepatutnya memimpin dan membina istana di atas lapangan keredhaan Allah. Raja yang sepatutnya memimpin membina istana dari tiang iman yang teguh.  

Sekarang biarkan aku terus haus mengejar fatamorgana yang tak sudah. Sekarang biar aku terhimpit dengan sisa runtuhan istana khayalan kerana ini semua kifarah Allah. Aku redha dengan kifarah Mu ini. Biarlah kifarah ini menjadi hidayah dari Mu yang akan menerangkan setiap jalan yang bakal ku tempuhi sehingga bertemu Mu nanti.


Monday 27 June 2011

HARGA SETITIS AIRMATA

Kala malam, tika insan sedang diulit mimpi.
Aku tersimpul di atas hamparan lena.
Bayangan masa silam mengoncang damai malam.
Air mata, tanpa sedar mengalir perlahan.
Kekesalan sentap jiwa kotor berkarat.

Aku insan berdosa meratap dosa silam.
Dosa ku pada Mu tak terhitung.
Dosa ku pada wali-wali cinta, tangis dalam sepi.
Kurmiakan aku taubat, sebenar-benar taubat.
Hati bagai dicarik hiba tak bertepi.

Pimpinlah aku Ya Rahim, bimbinglah aku Ya Rahman.
Aku ingin merasa damai di sisi Mu.
Aku tak layak untuk syurga Mu, aku takuti neraka Mu.
Aku dambakan keredhaan Mu.
Peluklah aku dengan rahmat Mu.

Airmata ini terus mengalir tanpa henti.
Ku ratapi bukan  kehilangan cinta hamba.
Ku ratapi langkah sumbang penuh jahil dan zalim.
Setiap airmata yang jatuh saksi dosa.
Harga yang tak mampu ku tebus.

Sunday 26 June 2011

DIBIUS CINTA

Korang pernah tengok orang angau bercinta tak? Ini antara 10 poin yang aku renung dan kumpul berdasarkan pemerhatian aku selama dua abad lebih aku berkelana di bumi Allah ini. Antara tanda-tanda orang yang sedang dibius cinta. Cinta apa aku tak tahu nak kategori kan. Ikut suka hati korang yang membaca la menilai sendiri. Kalau aku kategorikan karang , takut ada yang terasa terus label blog aku ni sebagai blog anti -couple. Aku tak mahu gado-gado. Mahu kawan saja.


1.  Antara tanda yang jelas dan nyata. Terkantoi gak kadang ni. Selalu sangat senyum dan gelak sorang-sorang. Makruh ni. Jangan diamalkan selalu boleh jadi haram dan boleh juga dilabel gila.

2.  Sanggup buat apa saja demi yang tercinta. Duit dalam bank ada cukup untuk hidup sebulan pun sanggup dikorbankan. Paling tak tahan sanggup pinjam duit mak pak semata-mata nak pergi jumpa kekasih hati. Ini memang boleh dilabel sebagai angau cinta tahap kronik. Bio pape asal awek ku bergaye...

3.  Tiba-tiba suka pakai minyak wangi dan menitikberatkan penampilan walaupun kerja setakat operator kedai je pun. Katanya nak jaga imej syarikat. Padahal takut buah hati datang menjengah bila-bila masa. Hipokrit tak hengat...

4.  Tulis puisi indah-indah dan karang sajak berkajang-kajang untuk si dia. Puji keindahan dan kemuliaan buah hati. Kononnya ini sebagai satu tanda cinta. Piiiraaah. Kalau cinta itu ikhlas takde kata yang boleh menggambarkan cik abang oi...

5.  Tak mahu berlekang dengan henpon. Henpon tu dah mcm ada magnet. Di bawa ke mana aje. Kecuali mandi n buang hajat kecuali dalam kes-kes  ekstrem.  Kalo tertinggal atau hilang dah mcm org hilang anak. Tak senang duduk. Halnya takut buah hati mesej or call je pun.

6.  Sanggup tinggalkan kawan-kawan dek kerana dah terpana dengan godaan Sang Kekasih. Aktiviti santai petang-petang bersama kwn2 terpaksa dilupakan kerana Sang Kekasih tak tertahan diabaikan walaupun hanya sepetang. 

7.  Jika Kekasih sakit demam kamulah orang paling risau kononnya. Sanggup minta cuti kecemasan semata-mata nak pergi jenguk kekasih hati yang duduknya ada la dalam 3jam memandu.
“Takpe saya sanggup di potong gaji Bos.”  Piiiraaah…kau sape???

8.  Sanggup berabih tenaga dan wang ringgit nak buat hadiah harijadi yang kononnya paling gempak di muka bumi. Konon nak kekasih hati tu ingat sampai bila-bila la. Mana yang kaya perabih duit jela. Mana yang tak mampu macam aku ni selalunya perabih tenaga la nak buat hadiah yang paling bermakna. Handmade…bengkak jari dok, duduk gulung dan lipat bintang satu balang gula-gula.

9.  Bila kekasih hati merajuk, lagi la nampak kelihatan symptom biusan cinta tu. Muka mencuka jer. Ketat macam getah spender(sori kasar bunyinya. aku nak santai je.takde niat lain). Buat kerja pun dah tak tentu arah. Suruh buat mee goreng jadi nasi ayam. Bila awek dah tak merajuk dapat rujuk semula terbalik pulak jadinya. Suruh buat mee goreng satu pinggan, 2pinggan dia bagi beb.
“Satu lagi untuk kau Tam. Aku belanja.”  Ini kes yang merujuk tempat keje aku la yer…

10.  Ada org cakap masa bercinta ni cium bau kentut pun bau wangi. Tak tahu la. Aku tak pernah mengalami situasi kentut tu. Tapi kalau itu sebagai kias, yang membawa makna semuanya indah tentang awekmu, mungkin ada benarnya.



Ada lagi ni. Tapi tak larat nak tulis. 1hari suntuk dok tercongok depan pc menaip entri. Ada banyak lagi entri dalam kepala ni tak tercapai dek akalku nak menulis semua. Syukur pada Allah, kerna menjadikan aku sibuk. InsyaAllah bila ada internet kat umah nanti kerja-kerja menaip entri akan menjadi lebih mudah...Tak lah menulis kat atas kertas je...susah2 dulu.hehehe




p/s: poin yang aku tulis di atas semua menjurus kepada satu perkataan je sebenarnya. Hipokrit. Cari la yang halal. Memang dituntut dalam Islampun kan.

MEROYAN

Aku tah tahu la mana datangnya kata meroyan ni. Kakak aku cakap meroyan ni hanya untuk perempuan je. Tapi dia still lagi nak label aku meroyan jugak. Ada yang label aku angau pun ada. Suka hati korang la nak label aku apapun. Siapa aku di mata manusia tak penting. Siapa aku di sisi Allah itu yang lebih penting.

Aku menafikan sekeras-kerasnya yang aku ni meroyan atau angau atau apa saja yang seangkatan dengannya. Aku normal. Belum gila lagi. Hanya kerana aku masih mengharap cinta yang tak pasti, aku dilabel sebagai meroyan. Jumudnya pemikiran anda yang melabel aku seperti itu.

Aku bukan mengharap seperti pungguk. Aku bukan mengharap sehingga makan tak lalu, mandi tak basah. Aku masih lagi boleh tersenyum. Aku masih lagi boleh bergurau dengan kawan-kawan. Aku masih lagi boleh makan nasi. Aku tahu ini semua ketentuan Tuhan. Aku tak boleh nak melawan takdir. Tapi adakah di atas sebab ini, aku harus putus asa? Tidak sama sekali. Allah itu maha menguasai. Senjata aku yang paling ampuh sekarang adalah DOA. Hanya doa sahaja yang boleh mengubah takdir.

Aku tidak menutup hati ku untuk wanita lain. Aku biarkan ia bebas terbuka. Cuma masanya belum tiba. Hukum wajib itu belum lagi jatuh ke atas aku kerana aku tak kepingin untuk bercinta di luar syariat. Cukuplah sekali aku tersasar. Biar cinta kali ini berjalan di atas redhaNya. Jika dia yang ku harapkan itupun datang untuk menagih cinta, belum tentu lagi aku dapat memberinya. Biarlah cinta ini tersimpan sehingga waktunya tiba.

p/s: Entri ini ada berunsur marah sikit. Hehe. Itu tandanya aku manusia normal. Maafkan mana yang terasa tu. Aku dah jemu dilabel MEROYAN. Macam sekuel gak la entri ni dengan TRANSFORMERS…hehehe

Friday 24 June 2011

IMPERFECT


Suatu  petang di restoran. Sewaktu sedang melayan pelanggan di restoran mata aku tiba-tiba terpandang pasangan yang begitu asyik memadu kasih. Kepala gadis lentok-lentok ke bahu lelaki. Ya Allah, aku kadang-kadang tak tertahan melihat maksiat di depan mata.

Kemudian dengan beraninya aku berbual dengan nada yang agak kuat dengan seorang rakan sekerja di kaunter kerana kebetulan pasangan tersebut berada tidak jauh dari kaunter.
“Diaorang tu dah kahwin ke? Mesra semacam je.” Bual aku, sambil merenung sinis kepada pasangan tersebut.
Si gadis terus sahaja jadi malu-malu dan memandang aku dengan pandangan yang semacam. Marah agaknya. Aku biarkan sahaja. Aku lakukan apa yang betul apa. Aku tak nak share dosa dengan pasangan tu. Kemudian rakan sekerja ni perlahan menyatakan kepada aku.
“Kamu dulu bukan pernah couple juga ke?”  Aku terpana dengan persoalan rakan sekerja.
Kenapa aku yang harus dihakimi? Salahkah aku menegur sesuatu yang mungkar? Perlukah masa silam aku dipertikaikan? Perlukah aku jadi seorang Ustaz untuk menegur maksiat di depan mata?

Persoalan ni berlingkar di kepala. Aku mencari jawapan. AKU JUGA BUKAN SEMPURNA. Itu mungkin jawapan yang paling tepat. Aku bukan sempurna, itu sebagai tanda aku ini sebagai seorang manusia. Tapi aku tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan untuk aku jadi lemah dan membiarkan kemungkaran. Ya, aku manusia yang tidak sempurna. Tapi sebagai khalifah dan hamba Allah di muka bumi ini, aku sememangnya dituntut mencari kesempurnaan sedaya boleh buat bekal bertemuNya nanti. Siapa kita di sisi manusia bukan ukuran tapi siapa kita di sisi Maha Pencipta yang harus dikisahkan.

Wallahua`lam… 

TRANSFORMERS

Tajuk entri hanyalah gimik. Aku bukan nak cerita pasal Optimus Prime atau Decepticon. Hanya nak bercerita pasal maksud kata "Transform". BERUBAH. Semua orang ingin berubah. Tak tahulah beubah dari segi apa. Tapi berubah tu biarlah yang memberi dan membawa kebaikan. Aku juga ingin berubah. Aku ingin menjadi lebih baik. Aku ingin mengecapi sejahtera hidup di dunia dan akhirat. Tapi semua ini bukan mudah kerana hidup ini tak pernah sunyi dari dugaan dan cobaan. Dari sanalah wujudnya sebuah kembara. Aku berubah bukan kerana sesiapa. Aku terkifarah kerana Cinta. Aku hanya merasakan hidup ini bukan satu matlamat akhir. Ada tujuan dan fungsi kita sebagai manusia. Itu jawapan yang harus dicari sendiri. Kalau diselak lembar kalam Allah pasti akan berjumpa jawapannya.

Dugaan untuk berubah bukan mudah. Ramai yang mengata. Ramai yang bercakap. Nak-nak insan seperti aku  ni. Bak kata Ady Budika, mat rempit, ganas, dan kasar. Lebih kurang macam tu la bunyinya. Itu kata bekas roomate. Tak salah dia menilai aku macam tu. Memang betul pun. Tapi Ady, aku bukan mat rempit tegar. Motor sekadar pengangkutan je. 

Kadang-kadang aku masuk ofis bagi salam pun orang dah label aku Ustaz. Apa cerita? Salah sendiri juga sebab tak pernah nak amalkan sebelum ni. 

Dahi aku ada tanda hitam sikit ada orang dok mengata aku kuat sembahyang. Ni paling tak boleh tahan. Wahai orang yang mengata. Ni bukan tanda hitam sebab kuat sembahyang, ni tanda hitam parut jerawat la. Aduyai...Aku tahu mereka mengatakan sesuatu yang baik. Tapi tidak benar sama sekali. Fitnah tu.

"Tam kamu dah kurus. Makan hati ke?" kelakar. Mana ada makan hati. Aku diet la. Jaga kesihatan. Diet tak makan nasi. Kesedaran mengenai kesihatan itu timbul bila tengok banyak baju yang tak boleh pakai dan banyaknya kancing seluar dah tak boleh kancing dan tertanggal. Naik dua tiga tangga pun dah termengah-mengah. Itu lagi merisaukan. Muda lagi beb. Alhamdulillah, sekarang dah semakin sihat.

"Kenapa tiba-tiba tulis blog Tam? Meroyan ek?" ha!? kenapa nak meroyan pulak ni? Mereka ni tahu ke tak meroyan tu apa. Meroyan tu kemurungan selepas bersalin. Logik ke aku ni meroyan. Aku tak melahirkan. Tolong baca entri bertajuk NIAT ek. (aku tak reti nak link kan dengan entri ni...sori)

Akupun tak tahu la nak kata apa lagi dah. Nak ikutkan banyak lagi mulut-mulut yang mengata. Tak teringat nak tulis semua. Antara cobaan yang paling besar adalah diri ini sendiri. Musuh yang paling besar. Jika syaitan dan nafsu yang beraja di hati ini dapat ditumbangkan dan iman menjadi penunjuk jalan yang terang, pasti tiada lagi tembok halangan untuk berubah.

Manusia itu pasti akan berubah. Terpulang la pada iman dan hati untuk memandu perubahan itu ke mana. Siapa kita di mata manusia bukan penting. Siapa kita di sisi Allah, itu yang lebih penting.



p/s: entri santai-santai. sebab ramai dok kata aku byk sgt melankolik dan bermetafora. ini entri eksperimentasi di kala melayan petang jumaat yang bosan. 








Monday 20 June 2011

KARYA TERAWAL KU...TERIMA KASIH ADY BUDIKA

Fitrah,
Ya manusia hidup mengalur fitrah,
Menyusuri sesuatu yang hakiki,
Agar dapat memudik duniawi,
Buat bekalan di akhir sana,
Moga tenang menghadapiNya...

Disana nafsu,
Memenuhi lapangan rohani manusia,
Menjadi nakhoda di lautan dosa,
Hipokrito melata didunia,
"kenapa dibunuh ibu penyayang itu?"
Haloba sudah berlabuh dijiwa...

Dimana dia???
Philosopio yang cintakan kebenaran,
Gunakan retorik indahmu,
Jangan biarkan mereka tenggelam,
Dek takungan darah manusia tak berdosa,
Sulamlah katamu dengan hikmah,
Agar menjadi ubat pembersih jiwa,
Mereka orang yang sakit.........

Fitrah, fitrah, fitrah...
Hidup manusia mengalur fitrah,
Fitrah yang menyusun sesuatu yang hakiki,
Agar ditelusi ombak nafsu,
Kelak dapat memudik duniawi,
Mencari ketenangan diakhirat sana...

KONFRONTASI NIAT...

Dia Adalah Penulis Berbahasa Indah.... Aku Peminat Tulisannya Sejak Dulu... Dialah.....

Bersepah-sepah lak bilik aku... Dah la aku tak suka sepah... Ahhh... Sebelum aku balik kampung nak la kemas sikit meja aku yang bersepah ini... Jeling meja roomate aku... Lagi la bersepah... Dia lak masih terbongkang atas katil tu... Hujung minggu la katakan... Ape la yang bersepah sangat meje die tu... 

Ambik peluang untuk belek apa yang bersepah kat meja roomate... "Fitrah???" Aku takkan lupakan puisi penuh indah itu... Puisi yang dia tulis diatas sehelai kertas dan kemudian dia renyukkan... Hati makin meronta untuk belek-belek kertas yang direnyukkan diatas meja milik roomate.. Semuanya karya indah yang mungkin buat aku tak percaya itu adalah hasil karya roomate aku yang... yang... yang....terkenal dengan sikap mat rempit...mat jiwa kacau...mat hati kering... tersenyum aku didalam hati membaca segala karya yang bersepah itu.. Aku kumpul dan aku simpan... 

Final break... Roomate aku nak balik Perak, die rempit jer balik Perak.. Aku dapat sms dari die cakap die nak balik dulu dan mintak maaf kalau ada salah silap... Sampai sekarang aku takkan lupakan sms itu.. Sepanjang jadi roomate, inilah sms yang paling aku rasa tersentuh... Lagipun masa tu aku dah tau, sem depan aku bukan lagi menjadi roomate die... Sayu gak rasa pagi tu.. Bertambah sayu bila ada satu puisi lagi tertinggal kat atas meja die.. Mungkin sempat die karang sebelum die bertolak balik ... Dan inilah karya tersebut :

Puisi yang banyak terkesan kat dalam diri aku.

Dan kenangan puisi-puisi itu kembali bila aku dapat satu komen cari gaduh..  Kat entri ini ---> TAJUK PANAS. Mintak pulangkan kembali hasil karya die... Masih dengan mamat ganas rupanya roomate aku neh.. BRUTAL... Ahahahahahah... Mungkin kalau ada kawan-kawan sekolejku kat UUM yang baca entri ni pasti akan tersenyum sebab mereka akan lebih mengerti .. Aku dan Tam dua insan yang amat berbeza... Namun boleh bertahan jadi roomate selama satu sem :)

Tam... Mybe manusia berubah... Dan aku pun aku rasa dah berubah... Cuma satu yang aku tak pernah berubah.... Iaitu .....
Aku Sentiasa Sukakah Karya Sentuhan Ko


Siapakah Roomate aku?? dialah ---> TAM  
Dan aku yakin korang pun akan turut meminati hasil penulisannya!!!!

* Tam... aku cuma dapat selamatkan puisi "Fitrah" dan "Dingin Pagi Ini" ciptaan ko..... Yang lain lesap bila PC aku rosak...






APA KO MEREPEK NI ADY? AKU TAKDE NAK CARI GADO LA...TULISAN KADANG SUKAR DITERJEMAH EMOSINYA. ANYWAY THANKS SEBAB SIMPAN AND MENGHARGAI KARYA-KARYA AKU. KARYA "FITRAH" NYA MANA???KALAU AKU TARUK HEHEHEHE...KAT UJUNGNYA MESTI JD MCM TAK CARI GADO JE KAN???AKU LUPA NAK TARUK HEHEHEHE TU...SORY LE...




ADY ROOMATE AKU. SUMBER TULISAN NI AKU CEDOK DARI BLOG DIA...KECUALI PUISI TU. TU ADY Y CEDOK DARI AKU...HEHEHE...IT IS OK WITH THIS HEHEHE

Sunday 19 June 2011

SUNYI


Handphone aku dah lama tak berbunyi semeriah dulu. Jika dulu, handphone ini sentiasa berbunyi menandakan ada pesanan ringkas yang singgah. Setiap kali ia berbunyi akan berbunga rasa hati. Pasti dari dia. Yang pasti sms selamat pagi dan gudnite itu sudah kemestian. Selamat pagi mu sentiasa mengejutkan aku untuk subuh. Gudnite dari mu untuk tidur ku yang pasti lena diulit mimpi indah.

Kini sepi, tapi tidak sekali aku menyesali. Biarkan handphone ini tidak berbunyi. Sebab hati ini sekarang tidak pernah sunyi. Hati ini hanya sunyi dari zinanya hati. Hati ini hanya sunyi dari cinta palsu. Jika sunyi itu yang dideritakan hati ini, pasti aku lebih rela hidup sunyi. Biarkan aku sunyi dari dosa. Biarkan aku sunyi dari nista.

Sunyi hati ini biarlah sunyi mendambakan rindu Ilahi. Sunyi hati ini biarlah kerana diri ini sudah lama tidak berkhalwat dengan Mu ya Allah. Sunyi hati ini biarlah kerana lidah ini sudah lama tidak mengalunkan kalam Mu. Jangan biarkan aku sunyi dari rahmat Mu. Pimpinlah aku, bimbinglah aku dengan hidayah Mu. 

Saturday 18 June 2011

NIAT...

Niat, tu yang buat aku menung sepanjang minggu ni. Aku tak boleh update blog hari-hari. Sebab takde fasiliti untuk mengakses internet di mana saja. Lagipun diri ini terlalu sibuk untuk menulis. Semuanya ada dalam kepala. Tapi badan terlalu penat untuk menulis. Hujung minggu baru ada masa. Itupun selit la kat mana kedai yang ada wi-fi fasiliti.

Apa niat aku menulis blog sebenarnya? Mula-mula dulu memang kerana seseorang. Mula-mula dulu memang kerana nak luahkan rasa. Mula-mula dulu aku menulis sebab dalam kepala ni terlalu banyak yang nak diluahkan. Terlalu bahaya untuk terus disimpan.

Nak ikutkan dah lama dah aku menulis. Dulu masa kat U dulu ada gak menulis puisi-puisi. Tapi untuk sendiri-sendiri baca. Tapi lastly terkantoi juga dengan roomate. Sebab aku tulis kat dlam PC dia. Aku? Aku mana mampu nak beli PC masa kat U dulu. Paling membanggakan roomate aku puji hasil karya aku tu.

Sekarang, aku still lagi menulis untuk seseorang. Masih lagi meluahkan rasa yang sama. Tapi, perlahan aku selitkan unsur-unsur dakwah. Bukan niat nak jadi Ustaz. Entah, tiba-tiba rasa terpanggil untuk membetulkan susun atur pandangan manusia tentang hidup beragama. Aku sendiri belum cukup ilmu di dada. Aku cuba menyampaikan dengan apa yanga aku ada. Sekurang-kurangnya aku menulis atas minat, untuk seseorang dan kerana Allah pastinya. Moga Tuhan melimpahkan rahmat dan barakahNya.

Kepada 20 followers yang ada, terima kasih kerana sudi singgah ke blog aku yang buruk ni. Kalau ada teguran yang membina jangan malu segan. Silakan, aku sedia di kritik. Aku masih lemah dalam membuat header dan layout bagai. Aku hanya memikirkan pengisian. Kalau kalian sudi mengajar, aku sudi belajar.
Aku bukan mencari followers yang ramai di sini. Aku bukan mencari nama dari karya-karya tulisan ku ini. Aku bukan mencari keuntungan. Kepada sesiapa yang ingin singgah silakan. Aku sentiasa megalukan. Bacalah apa yang ada di dalam blog ini. Selamlah setiap baris kata. Sematkan dihati buat pedoman. Aku ikhlas menulis kerana mahu BERKONGSI..


Kerana hidup ku ini semua milikNya. Hidayah dan rahmat Allah inilah yang aku ingin kongsi dengan sahabat-sahabat semua. TRAVELOG CINTA bukan jiwa-jiwa tapi sebuah wasilah memaparkan perjalanan kembara seorang hamba terkifarah kerana CINTA.

MONOLOG SEORANG JANDA (episod akhir)

Entry yang ni bukan sekuel tentang Monolog seorang janda pada entry yang lepas. Monolog tu sebenarnya sampai situ  je. takde sambungan pun. aku tulis berdasarkan khayalan. banyak benau berangan sejak dua menjak ni. lagipun dah jelas kat tajuk entry monolog seorang janda. siapa yang baca monolog seorang janda tu mesti paham maksud aku kan.

harap maaf aku bukan anti klimaks. just nak ajak pembaca yang mana singgah blog buruk aku ni berfikir sama. tak leh la nak suap je...


maaf banyak-banyak. minta terus sokong blog aku. sebab korg adalah motif aku untuk terus menulis. even followers baru je 20.

Friday 17 June 2011

SELAMAT HARI BAPA...APAK.

Selamat Hari Bapa...Apak. Aku belum pernah mengucapkan ucapan ini di hadapan mu. Kenapa? Diri ini terlalu kekok. Mungkin tahun ini aku akan cuba mengumpul kudrat untuk mengucapkannya setidak-tidaknya melalui telefon. InsyaAllah.

Mengenang kembali selama hampir 2dekad bersama dengan mu. Tak terhitung jasa mu dalam menjadi dan membentuk aku sebagai seorang insan. Terima kasih Apak. Jasa mu tak bertepi dan tak terbalas oleh ku. Tidak sekali pun Apak berkira, tidak sekali pun Apak pernah mengeluh.

2dekad bersamamu, dosaku dengan mu memang tak terhitung. Mungkin dalam sedar atau tidak. Anakanda mu ini menyusun jari memohon maaf padamu. Rasanya dalam setahun hanya 2kali or sekali je kita bermaafan. Tika itu aku rasakan hangatnya pelukan seorang Ayah. Bahagia. Walaupun dalam sedetik itu, tapi cukup bermakna ku rasakan.

2dekad kita bersama, banyak kenangan telah tercipta. Aku selalu temankan Apak ke kebun kerana aku ingin menyelami perit jerih Apak membanting tulang membesarkan kami. Kekadang melihat Apak berpenat lelah mendatangkan keinsafan pada ku. Apak selalu pesan. "Jangan jadi macam Apak. Kau tu bukan boleh buat kerja berat. Belajarlah rajin-rajin. Itu je Apak pintak". Meremang bulu roma aku bila Apak mendengar pesan Apak. Seolah-olah satu motivasi yang sangat terkesan pada aku. Pesanan mu itu sentiasa menjadi azimat dan hasilnya telah ada. Apak sendiri tahu. Ini semua hasil titik peluh mu yang mengerah keringat membesarkan. Aku tidak akan puas sampai di sini. Doakan anakmu ini agar terus berjaya kerana padaku kejayaan itu bukan satu matlamat akhir.

Sepanjang dua dekad bersama ini Apak lah teman bergurau paling sempoi. Apak tak pernah naik tangan. Cukup dengan kata-kata yang ringkas tapi cukup berkesan dan mendalam. Apak pernah pesan lagi, sampai sekarang aku ingat kata tu. "Jage le semayang, kalo tak semayang susah. Jauh mana pun kita terpesong bila agama tu ada dalam hati, mesti balikjuga ke pangkei jalan". (Apak cakap dalam loghat Perak). Terima kasih Apak, didikan agama dari mu menyedarkan bumi yang di pijak dan langit mana yang dijunjung.

Ampunkan anakmu ini. Halalkan makan minum ku selama berdekad ini. Anakanda mu sentiasa sayang dan mencintaimu. Kadang tak terluah dengan kata. Jasa mu akan sentiasa dikenang dalam lipatan doaku. SELAMAT HARI BAPA...APAK...

Thursday 16 June 2011

HIPOKRIT


Kerja aku sebagai pelayan kedai makan kadang membuatkan aku jelak dengan gelagat keldai-keldai cinta dan menyedarkan aku sendiri kerana diri ini juga dulu salah seorang dari mereka. Syukur ku panjatkan pada Mu Ya Allah, kerana memelihara ku dari terus hanyut. Aku memandang keldai-keldai cinta ini seperti boneka mainan iblis dan syaitan yang kerjanya hanya menyesatkan umat Islam.

Mereka hipokrit. Menipu diri sendiri. Mereka menafikan hukum Allah. Masakan tidak, pergaulan yang bebas antara lelaki dan perempuan ini tanpa ada ikatan yang sah, kekadang mengalahkan pasangan yang sudah berkahwin. Apa hak mereka untuk melakukan demikian? Tidakkah mereka hanya menipu diri sendiri? Hipokrit yang nyata.

“Kami tahu batas pergaulan kami. Kami tak pegang-pegang tangan. Kami saling hormat menghormati. insyaAllah ada jodoh kami akan kahwin”. Ini satu jawapan tipikal yang selalunya aku dapat dari kawan-kawan. Bila aku tanya pada mereka tentang hukum keluar dating  ini. “Dating, berdua-duaan itu dah memang haram”. Itu sahaja jawapan aku. Sebab aku tak mahu terus menegakkan benang yang basah kerana mereka ini telah terbius dengan fahaman minda yang terlalu terbuka dan terbudaya begitu. Memang sesuatu yang mustahil untuk mengubahnya. Selalunya mereka akan mencari hujah yang akan membolehkan mereka menghalalkan cara.

Kasihan wali-wali si gadis yang dikepit ke hulu ke hilir oleh si laki. Dayus wali mereka apabila anak-anak gadisnya berkhalwat dan melakukan maksiat di luar sana. Sedangkan wali-wali si gadis tidak tahu akan maksiat yang dilakukan.

Mereka HIPOKRIT. Meraka menipu diri sendiri. Mereka menipu wali-wali cinta. Mereka menipu Tuhan. Wahai saudara-saudari seagamaku, jika anda benar-benar sayangkan hubungan mu, bimbinglah ia ke syurga. Bimbinglah ia mencari cinta abadi. Pada yang bernasib baik dapat mengakhiri hubngan hingga ke jinjang pelamin, bersyukurlah pada tahap itu kerana Tuhan mungkin sedang mengaturkan sesuatu untuk anak-anakmu. Jika tiada mungkin ini suatu istidraj. Minta dijauhi. Moga kita sentiasa di dalam lingkungan rahmat dan berkatNya. 

Wednesday 15 June 2011

Erti Bahagia



Erti bahagia bukan pada apa yang aku miliki. Erti bahagia ku lihat pada apa yang aku beri kerana di dunia ini tiada satu apa pun yang aku miliki. Dunia ini hanya pinjaman. Jadi kenapa mengejar dunia?

Bahagia aku kecapi, apabila diri ini dibelai dengan rahmat dan redha cinta abadi kerana aku bukan mencari cinta yang hanya singgah lantas meninggalkan onar di hati.

Bahagia yang aku dambakan bukan terselit dek timbunan harta kerana timbunan harta setinggi gunungpun tidak akan dapat memenangkan nafsu ku.

Erti bahagia pada ku bukan pada isteri yang cantik kerana suatu masa tubuh manusia akan dimamah usia, reput dan kedut.

Cukuplah ku katakan aku kecapi bahagia itu terletak pada apa yang diberi bukan apa yang aku miliki. Memberi kerana mencari redha Ilahi...Cukuplah bahagia dengan kasih sayangNya

Sunday 12 June 2011

MONOLOG SEORANG JANDA


Abang sanggup menemankan Imah di waktu Imah bersedih tika bergaduh dengan kekasih Imah dulu. Melayan sms dan panggilan telefon abang waktu itu bagaikan cahaya di lorong yang gelap. Walaupun Imah belum lagi secara rasminya putus dengan kekasih Imah itu tetapi hati Imah sudah terpaut dengan keperibadian abang yang nyata lebih matang dan berkarisma berbanding kekasih Imah. Abang selalu bawa Imah siar-siar dan hiburkan hati Imah. Sejujurnya hati Imah mula berputik dan mula boleh melupakan kekasih. Kalau abang nak tahu sememangnya punca pergaduhan antara Imah dan kekasih Imah tu kadang-kadang berpunca dari hubungan  skandal kita ini. Kekasih tahu gerak geri kita dari rakan serumah Imah rupanya. Tapi imah tak kisah pun. Imah bagitahu kat kekasih kita hanya kawan. Kekasih pasrah. Tapi hati Imah sekarang dah ada abang. Imah dah tak sayangkan kekasih lagi. Walaupun kekasih tiada melakukan apa-apa silap. Hati ini sudah tiada lagi kasih itu. Mungkin ada wanita yang lebih baik untuk si mantan kekasih. Tanpa sebab, Imah tinggalkaan kekasih. Mantan kekasih Imah dulu angaukan sangat Imah tau. Kesian dia. Imah banyak tipu dia. Bila mana ibu kepada mantan kekasih datang merisik. Imah menangis depan mak imah. Imah katakan semua ini silap mantan sehingga kami berpisah. Imah takut nak bagitahu tentang hubungan kita lagi masa tu. Mantan tanpa putus terus pujuk Imah. Imah marah mantan. Imah cakap kasar-kasar dengan mantan. Mantan sedikit pun tak beriak. Kelihatan air mata mantan mengalir perlahan. Mantan berlalu pergi dari hidup Imah. Sekarang kita dah merdeka. Imah bebas berpacaran dengan abang. Masa berlalu hubungan yang kita jalinkan atas derita si mantan semakin utuh. Imah anggap masa itu mantan memang tiada jodoh dengan Imah sebab abang la jodoh Imah. Mantan kadang-kadang ada juga menghantar SMS.

“Ingatlah Imah, tiada cinta sebelum nikah. Jodoh itu pasti. Cinta itu nafsu jika membelakangkan syariat Allah”.

Imah balas SMS “Baiklah Ustaz!”

Mantan dah ubah jadi Pak Alim ke? Imah abaikan mantan. Mungkin dia ingin menarik perhatian Imah untuk pulang kembali ke pangkuan dia. Hati Imah dah ada abang. Imah sayang abang seorang sahaja. Tahun depan kita kahwin ye bang? Imah tak sabar nak jadi suri hidup abang.

CERITA INI HANYA REKAAN SEMATA-MATA.TIADA KAITAN DENGAN YANG HIDU MAHUPUN YANG TELAH MATI. HANYA IMAGINASI PENULIS SEMATA-MATA. NANTIKAN KESUDAHANNYA…ADAKAH KASIH YANG DIBINA ATAS DERITA INSAN LAIN AKAN KEKAL ABADI? 

MANIFESTASI "AKU BUKAN SOMBONG".


Siapa cakap aku tak teringin bercinta lagi? Ikutkan nafsu, ya, aku memang ingin bercinta lagi. Bercinta seperti pasangan-pasangan yang lain. Keluar berdua. Luangkan masa berdua. Mesti indah saat itu. Semuanya berdua. Bangun pagi, dapat sms dari pasangan say good morning. Malam pula ada gudnite. Setiap masa ingatkan pasangan. Bahagianya…

Difikirkan kembali, perlukah bercinta sebelum ada apa-apa ikatan yang sah? (benda yang sudah berapa kali di ulang. Tak ingat.) Apa guna bercinta jika hati ini bakal disakiti? Apa guna bercinta, jika membelakangkan syariat CInta Yang Kekal Abadi? Apa guna memberi pada tempat yang bukan halal pada aku? Mereka yang sedang dilamun cinta, renungkanlah soalan ini. Tepuk dada tanya iman. Jangan tepuk dada tanya selera. Nanti nafsu pulak yang tolong jawabkan.

Aku tak serik bercinta. Tapi biarlah aku bercinta di atas cinta Ilahi. Biarlah aku membaiki bahtera yang berlubang di sana sini kerana sebagai nakhoda, aku tidak mahu melihat bakal anak-anak kapalku nanti lemas dan karam di atas kelalaian ku. Aku berpegang pada janji Ilahi kerana  aku beriman dan percaya dengan yang ENAM dan aku beramal dengan yang LIMA. Jadi pasti Dia telah mengaturkan sesuatu untuk ku. Setiap dugaan dan ujian pasti ada hikmah yang diaturNya. Sabar itu indah. Sabar itu penawar yang mujarab.  

Jadi maafkan aku, wahai Hawa di luar sana. Jika pendirian ku ini menampakkan kesombongan di mata kalian. Syukurlah Tuhan masih pelihara kita sebelum terus hanyut dengan belaian nafsu yang pasti membawa kepada kebinasaan. Aku bukan sombong, tapi aku terlalu sibuk membaiki hidup ku dalam mencari keredhaan Allah. Aku dambakan percintaan seperti Fatimah az Zahra dan Ali R.A. walaupun iman tak sehebat Nabi Yusof, tapi aku mencontohi mereka. Maafkan aku, jika terputus silaturahim antara kita. Tapi aku masih ada wadah TRAVELOG CINTA ini sebagai jambatan silaturahim.  Gunakan, kerana di sini insyaAllah, aku lebih ikhlas berbicara. Wallahuaalam.


Friday 10 June 2011

MEMBELI KEAJAIBAN...

Tam seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan 8tahun. Tam dan keluarganya menetap di pinggir bandar bersama dengan seorang adiknya yang sedang sakit.

Tam dan keluarga tidak mampu untuk mengubati penyakit adik Tam kerana melibatkan kos pembedahan yang terlalu tinggi.

"Kita memerlukan keajaiban untuk mengubati adikmu". kata ayah Tam.

Lalu Tam berlalu masuk ke dalam biliknya dan mengeluarkan segala simpanan di dalam tabungnya. Hanya 1dolar 11sen. Tam meminta izin dari orang tua untuk keluar membeli sesuatu untuk adiknya. Ibubapa Tam terharu dengan usaha Tam itu. Walaupun masih kecil, mereka membenarkan Tam untuk pergi ke kedai di seberang jalan. Ternyata kasih sayang Tam terhadap adiknya terlalu mendalam.

Sampai sahaja di hadapan kedai ubat itu, kehadiran Tam tak di pedulikan. Mungkin kerana masih terlalu kecil untuk membeli ubat. Pelbagai cara digunakan untuk menarik perhatian pekerja di kedai ubat tersebut. Tam akhirnya menggunakan syiling 1dolar 11sen tadi untuk mengetuk cermin kedai ubat tersebut bagi menarik perhatian pekerja-perkerjanya. Tanpa sedar gelagat Tam telah diperhatikan dari awal lagi oleh seorang lelaki. Seorang pekerja kedai menghampiri Tam kerana tidak tahan dengan kerenah Tam. 

"Kamu mahu apa"? tanya pekerja kedai tersebut.

 "Saya nak beli keajaiban la bang, ayah saya cakap hanya keajaiban sahaja yang boleh merawat adik saya yang sedang sakit". jawab Tam sambil menangis teresak-esak.

"Dekat sini tiada menjual keajaiban. dekat sini cuma ada ubat sahaja. Tiada keajaiban di sini". jawab pekedai sambil berlalu meninggalkan Tam.

Datang lelaki yang tadi hanya melihat gelagat Tam dari jauh.

"Awak ada berapa dolar untuk membeli keajaiban"? tanya lelaki tadi.

"Saya hanya ada 1dolar 11sen. Kenapa pakcik"? tanya Tam semula.

"Pakcik ada menjual keajaiban yang kamu mahukan". jawab lelaki itu sambil tersenyum.

Lelaki misteri itu sebenarnya adalah seorang pakar bedah dari sebuah hospital. Dia teharu mendengar rintihan dengan pekerja kedai tersebut. Lalu menawarkan diri untuk menolong adik Tam. Dipendekkan cerita adik Tam telah sembuh dari sakitnya setelah di bedah dan segala kos dan pembedahan dilakukan oleh lelaki misteri tersebut.


Thursday 9 June 2011

Sinambungan Kongsi...

Cerita pakcik dan makcik yang kongsi gigi palsu ini merupakan sampingan sahaja. Apa yang ingin ditekankan di sini, ialah tajuk entri, KONGSI. Indahnya berkongsi jika sama-sama ikhlas memberi. Hatta berkongsi gigi palsu pun sesuatu yang indah. Masakan tidak, jika dilihat sepintas lalu berkongsi gigi palsu merupakan sesuatu yang menjijikkan umumnya. tetapi itu hanya di mata umum. Adakah pakcik dan makcik kesahkan tentang pandangan umum ini? Tidak sama sekali, kerana makcik dan pakcik ikhlas berkongsi dan mereka kecapi bahagia dengan cara itu. 

Berkongsi bermakna kita sedia memberi. Semakin banyak kita memberi, semakin kita tidak akan berasa kekurangnya selagi niat kita ikhlas untuk memberi tanpa mengharap apa-apa balasan. 

Kepada yang kedekut memberi kemaafan, belajarlah memaafkan khilaf orang lain. Dendam dan benci ibarat nanar yang merosak hati. 

Pada yang lokek untuk menderma, ketahuilah rezeki ini semua dari Allah dan mereka yang fakir itu mempunyai hak ke atas hartamu.

Pada yang suka berahsia, ketahuilah, selagi ada hayat di muka bumi ini belajarlah berkongsi. Rahsia kamu tiada gunanya di lahat sana.

Carilah erti hidup pada sebuah pemberian. Manusia kini memberi kadang mengejar popular. Manusia memberi hari ini, esok sudah mula mengungkit.

Waalahualam. Aku harap korang paham apa yang nak aku kongsikan. sebab aku bercerita berdasarkan buku yang aku baca. Setangah Berisi, Setengah Kosong dan beberapa artikel dari Saifulislam.com.


Tuesday 7 June 2011

KONGSI (bukan tajuk filem tu yer...)

Kisahnya mengenai sepasang suami isteri yang sudah tua. Pada suatu hari pasangan ini, berjalan mengambil angin di luar dan kemudian singgah makan di sebuah gerai. Lalu mereka memesan semangkuk sup ekor, sepinggan nasi dan dua cawan air suam serta 1pinggan kosong. Pekerja yang bekerja di gerai tersebut berasa hairan dengan pesanan yang di buat.

Lalu pekerja tersebut menghantar pesanan yang di buat. Si suami pun membahagikan nasi kepada dua bahagian. Si isteri hanya tersenyum dan hanya melihat Si suami makan, sedangkan Si isteri hanya melihat dan tersenyum melihat Si suami menikmati makanan. Pekerja gerai tersebut bertambah hairan dan kasihan melihat kedaifan pasangan tua ini. Lalu beliau menawarkan sepinggan nasi lagi kepada pasangan tua ini. Tetapi anehnya tawaran pekerja itu ditolak dengan sekuntum senyuman oleh pasangan tersebut.

Si isteri masih lagi tersenyum melihat Si suami menikmati makanan, sesekali Si suami melirik ke arah Si isteri sambil tersenyum.  Perasaan ingin tahu pekerja gerai tersebut tidak terbendung lagi. Lalu beliau bertanyakan kepada pasangan tua tersebut.

“Kenapa makcik hanya melihat pakcik makan?” Tanya pekerja tersebut. Sambil tersenyum makcik itupun menjawab “makcik tunggu gigi palsu yang pakcik tengah guna itu.” Tergamam pemuda tersebut.

Ini bukan cerita kelakar. Nanti aku huraikan dalam entri yang lain.

Monday 6 June 2011

JAHILIYYAH CINTA

Aku tulis entry ini, bukan sebab aku frust dengan cinta. Just aku baru tersedar dari mimpi yang panjang. Seperti yang telah aku sebutkan dalam entry sebelum ini, kifarah dari Allah telah sedarkan aku serta petunjuk-petunjuk yang Allah berikan telah celikkan mata aku.

Betapa jahilnya aku dulu sehingga buta mencari cinta dengan seorang yang belum pasti boleh membawa aku ke syurga Allah.

Betapa jahilnya aku dulu memburu cinta melalui perutusan pesanan ringkas, dan panggilan telefon yang melalaikan.

Betapa jahilnya aku dulu bila mana aku berkhalwat dengan seorang yang bukan mahram ku dan yang pasti haram untuk aku berdua-duaan dengannya.

Betapa jahilnya aku bila sanggup berkorban merentas beratus batu hanya untuk berkhalwat dengan seorang yang kononnya aku cintai sepenuh hati.

Betapa jahilnya aku berkorban wang ringgit untuk memenuhi saat-saat bahagia bila berkhalwat dengan  seorang yang belum pasti bukan halal untukku.

Rentak aku seperti pincang, penuh sesal. Tapi ketahuilah seseorang yang pernah bertakhta di hati ini, aku tidak pernah sesal dengan apa aku lakukan kerana yang ada pada aku sekarang tiada lain hanya senandung kesyukuran ke hadrat Ilahi. Menyedarkan aku dari lalai yang panjang diulit nafsu. Biarlah aku pincang sekarang, dari aku pincang mengadapNya nanti. Jika benar cinta kita ini di atas redhaNya, aku pasti akan kembali. Kembali memimpin kamu. Menjadi imam dan pemimpin kamu. Jika tiada redhaNya, aku pasrah kerana aku tidak berdaya melawan takdir. Biarlah aku tadbir hidup dan cinta ini kepada sesuatu yang abadi.

Sejuta kesyukuran aku hamparkan padaMu ya Allah. KifarahMu ini wasilah kepada mukadimah aku yang teranjak dari syariatMu. Pimpinlah aku dijalan Mu. 

Sunday 5 June 2011

Mengapa mencari yang haram?

“Kamu dah ada makwe ke Abu”? Soal seorang kawan. Masih lagi dalam nada yang biasa kita dengar dan dianggap normal di mata masyarakat. “Semalam aku pergi tengok wayang dengan pakwe aku, best spent time berdua”. Sudah mula ada nada yang tidak betul di sini. Tapi masih lagi bernada biasa di kalangan anak muda. Malah ada yang turut menyimpan hasrat untuk mempunyai ‘pakwe’ dan ‘makwe’ juga. Di kalangan ibu bapa dialog itu tadi mungkin berbunyi agak canggung tapi masih lagi boleh di terima bagi golongan ibu bapa yan dilabel sebagai sporting kononnya.


Begitulah hakikatnya di dalam masyarakat sekarang. Mentaliti yang telah beranjak dari syariat. Terutama sekali dalam melihat isu ‘couple’ atau berpakwe dan makwe ini. Ianya seolah-olah menjadi satu tiket untuk ke gerbang perkahwinan, mengikut prespektif maasyarakat zaman sekarang. Prespektif ini bukan terhad kepada golongan muda sahaja. Malahan turut melibatkan ibubapa. Tidak tahu dari mana berputiknya pemikiran yang beranjak dari syariat ini. Mungkin kita terlalu dijamukan dengan slot telenovela dan drama-drama cinta yang kebanyakannya berkiblatkan nafsu.


Lihatlah di sekeliling kita, lihatlah anak muda berpacaran. Perempuannya bertudung, lelakinya kelihatan baik. Cukup waktu mereka sembahyang. Selesai sembahyang mereka berpegangan tangan. Apa semua ini? Hipokrasi? Seolah-olah memainkan hukum Allah. Ingatlah sahabat-sahabat ku di luar sana, Allah sudah tetapkan hukum atas berdua-duaan atau ‘couple’ ini, hukumnya adalah haram,haram,haram! Tiada matlamat yang boleh menghalalkan cara wahai sahabat-sahabatku. Lorongkanlah apa sahaja alasan mu, yang haram akan tetap jadi yang haram. “Saya tahu di mana had saya la. Saya boleh kawal diri lagi. Setakat duduk berdua tu takkan jadi apa-apa”. Kata-kata seorang sahabat. Haram sahabatku. Haram.Tiada lain yang halal, melainkan pernikahan. Aku juga muda, aku juga punya nafsu sebagai orang muda, aku juga bujang yang punya ingin untuk berkahwin. Tapi aku tidak mahu membelakangkan redha Allah. Biarlah aku mencari cinta yang tertegak di atas keredhaan Allah kerana di sana pastinya menjanjikan kebaikan dan kedamaian.


Sebelum itu, renungkanlah kata-kata akhir ini dan fikirkan, kita telah dihidangkan dengan dua ketul daging yang mana salah satunya berbau busuk seperti bangkai dan satu lagi daging yang sempurna di masak. Tetapi kenapa kebanyakan kita suka pada daging yang busuk seperti bangkai? Sedarlah sahabat-sahabatku mengapa mencari yang haram sedangkan itu sudah jelas dan nyata di mata mu menimbulkan murka Allah.


Wahai Adam, pimpinlah Hawa mu ke syurga. Jika kamu sayangkan dia, sayangilah dia kerana Allah. Nikahilah dia. Moga terbuka pintu rezeki yang mencurah buat mu terus melayar hidup. Takkan miskin bagi pasangan yang menikah. Ini janji Allah.  

Seperti Susun Suai Gambar

Segalanya seperti susun suai gambar. Petanda dari Allah. Setelah disusun susur galur peristiwa, membawa aku kepada satu gambaran. Sebelum ini aku hanya mengagak dan mengikut kata firasat hatiku. Sebelum ini aku hanya mendengar dari cerita kawan-kawanmu. Ada yang disampaikan secara terus dan ada nada yang secara berkias.


“Putus asa je la. ‘Cinta’ dah ada yang lain”. Kata seorang kawan ‘Cinta’ pada aku. Aku cuba menelan hakikat walaupun pahit. Dalam hati ku semat mungkin ‘Cinta’ ingin berubah angin. Mungkin rasa jemu denganku.

Kemudian petanda dari Allah itu datang lagi. Terlintas di hati ku untuk menyemak status kawan-kawannya di rangkaian laman sosial yang terkenal sekarang ini. Terperanjatnya aku, terasa seperti hati ini ditikam. Bila mana aku terbaca komen salah seorang kawan ‘Cinta’.
” ‘Cinta’ dah nak menikah dah hujung tahun ni”. Ha! Aku benar-benar terpempan. Sambil seorang kawannya yang lain menyambut dengan komen yang lain.
“Biasalah tu ‘Cinta’, orang yang bercinta bertahun-tahun tak semestinya sampai ke jinjang pelamin, last nanti mesti nikah dengan orang lain. Akak cakap berdasarkan pengalaman”. Ha! Kejam sungguh kata-kata kawan ‘Cinta’ ini. Apa dosa aku hingga mereka seolah-olah membenci aku. Mereka seolah-olah menggalakkan ‘Cinta’ untuk curang.
Bila aku mengimbas kembali kata-kata ‘Cinta’ sebelum ini, jelas bagaikan satu susun suai gambar yang separuh siap pada aku. 
“Macam mana kalau orang ada laki lain”? Tanya ‘Cinta’. “Macam mana kalau ornag tak jujur dengan awak”? Tanya ‘Cinta’ lagi. Kenapa ‘Cinta’ harus bertanyakan soalan seperti ini?

Tika dulu aku memang tidak mahu memikirkan sesuatu yang tidak baik dan bila diimbas kembali kepada satu lagi sisi hidup antara aku dan ‘Cinta’ telah hampir menyiapkan sebuah gambar dan jawapan. Entah bagaimana pada hari-hari terakhir aku dan dia, terlintas di hati ku ini untuk melihat telefon bimbitnya. Ditenungkan pada masa lampau, aku mulai perasan yang ‘Cinta’ selalu menetapkan mod senyap pada telefon bimbitnya. Itu telah menimbulkan syak pada aku. Tapi seperti biasa, aku tidak mahu memikirkan sesuatu yang tidak baik. Kembali pada pada hari-hari terakhir aku dan dia, aku terlintas untuk melihat telefon bimbitnya. Alangkah terkejutnya aku, peti simpanan pesanan penuh dengan lelaki yang mana ‘Cinta’ melarang aku berkawan dengannya atas alasan sesuatu yang tidak professional. Aku cuba mencari di mana logiknya alasan mu itu. Tiada lain yang aku nampak ‘Cinta’ melainkan pada aku, kawan kamu adalah kawan aku juga. Jadi apa salahnya kita berkawan dan kini baru aku mengerti. Kamu dan dia mungkin ada apa-apa. Kamu telah pun minta maaf. Aku terima maaf mu itu dan kamu katakan pada aku, kamu dan dia hanya kawan. Aku percaya ‘Cinta’. Tiada sebab untuk aku tidak mempercayai mu. Tapi kamu tetap mahu berpisah dengan ku. Aku relakan. Setelah segala usaha aku lakukan. Aku redha. Aku serahkan pada Allah. Aku tak mahu dengan angkuhnya menyatakan antara kita sudah tiada jodoh lagi.

Kemudian Allah tunjukkan pada aku, berikan aku kepingan gambar yang terakhir untuk aku siapkan susun suai gambar ini. Dalam perjalanan pulang ke Bandar Shah Alam, aku terserempak ‘Cinta’ dan lelaki itu di dalam kereta. Betul-betul di depan rumahnya ‘Cinta’ pada waktu senja. Alhamdulillah, Allah tenangkan hati aku, walaupun agak bergoncang juga hati ini. Telah direnung-renung kembali Allah telah berikan petunjuk dan gambaran. Terpulang kepada aku untuk menilai. Jawapan aku tetap sama, aku tetap akan sediakan jalan untuk mu kembali ‘Cinta’. Aku rela memaafkan segala salah silap mu. Bukan aku tiada harga diri, tapi aku tahu akal Hawa itu satu…


Wednesday 1 June 2011

Aku Bukan Sombong...

Aku bukan sombong wahai Hamba Allah, aku bukan sombong bila mana aku menolak ajakan kamu untuk menonton wayang pada hujung minggu. Aku tiada sebab untuk pergi denganmu wahai hamba Allah. Kamu bukan muhrim ku. Haram bagiku berduaan denganmu di dalam panggung yang semestinya gelap.
Aku bukan sombong wahai Hamba Allah, bila mana  aku menolak ajakan kamu untuk menemankan kamu keluar makan. Aku takut pada mata-mata yang memandang akan mewujudkan fitnah antara kita. Kamu bukan halal bagiku. Carilah kamu wahai Hamba Allah sesuatu yang halal dalam hidupmu kerana di situ terdapatnya keredhaan Allah.
Aku bukan sombong wahai Hamba Allah, sms dan call mu aku kurang peka. Aku takut pada zinanya hati. Melalui telefon ini akan mewujudkan khayalan-khayalan yang menyesatkan. Halus dan kreatifnya syaitan dalam memesongkan manusia. Janjinya pada Allah akan menyesatkan anak Adam hingga ke hari kiamat. Janganlah kamu tergolong dalam hamba Allah yang leka dan lalai.
Aku bukan sombong wahai Hamba Allah, aku takutkan azab Allah, Allah telah pun melarang dalam mukjizatNya wahai hamba Allah, janganlah kamu menghampiri zina kerana zina itu menyesatkan dan membawa kepada jalan kemusnahan. Jauhilah khalwat wahai Hamba Allah, kerana ia merupakan wasilah kepada zina. Jika  benar kamu ingin rasa dicintai dan mencintai, ingin rasa dirindui dan merindui, sandarkanlah semua rasa cinta mu itu kepada Allah. Takkan ada rasa sepi dan sunyi hidup ini. Cinta Allah itu kekal abadi.
Aku bukan sombong wahai Hamba Allah, aku saling mengingati kerana diri ini sentiasa tidak sempurna. Kepada Allah juga ku mohon redha. Agar istiqamah ku berkekalan…